Pencuri Sempat Makan Nasi, Minum Air Ribena Ketika Pecah Rumah

Pencuri Sempat Makan Nasi, Minum Air Ribena Ketika Pecah Rumah,ok | Seorang atau sekumpulan lelaki yang dipercayai memecah masuk beberapa buah rumah di sini sempat makan nasi berlaukkan ikan sardin, ayam dan ikan goreng serta menikmati minuman soya dan Ribena sebelum melarikan diri.

Pencuri Sempat Makan Nasi, Minum Air Ribena Ketika Pecah Rumah

Seorang mangsa, Fatimah Senai, 60 berkata, suspek memasuki salah sebuah bilik di mana dia dan dua anak perempuan tidur sempat menyelongkar almari baju di dalam bilik dan larikan seutas gelang tangan.

Menurutnya, semasa kejadian itu, langsung tidak kedengaran sebarang bunyi sedangkan almari itu akan berbunyi jika dibuka atau ditutup.

"Saya tidur dekat dengan almari. Itupun saya tidak dengar dan tidak sedar. Cuma anak lelaki saya, pada ketika itu, terkejut dari tidur dan bergegas ke arah dapur dan melihat besi tingkap telah dipotong.

"Tetapi, suspek sempat pula makan nasi sekali dengan lauk-lauk yang ada atas meja. Dia letak dalam satu pinggan, ambil satu bekas air dan makan di luar bahagian dapur," katanya.

Bagaimanapun, selepas memeriksa semua beg tangan dan almari, semuanya dalam keadaan selamat kecuali seutas gelang tangan yang hilang.

Sementara itu, seorang mangsa, Khosiah Abdullah, 66 memberitahu, dia tersedar apabila suspek cuba memasuki bilik tidurnya buat kali kedua selepas berjaya mengambil wang tunai lebih RM700 yang di simpan di dalam beg tangannya.

Katanya, dua buah telefon bimbitnya yang diletakkan di tepi bantal turut dilarikan suspek semasa kejadian kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

"Saya tersedar sebab terasa seperti ada orang. Bila saya bangun, suspek cuba ambil beg tangan yang lain kerana beranggapan ada wang tunai di dalamnya.

"Saya terkejut, dan menjerit minta tolong. Dia pun terkejut sebab saya terjaga dari tidur bergegas berlari ke arah dapur dan keluar ikut pintu dapur," katanya.

Khosiah yang tinggal bersama seorang anak istimewanya, Rohaya Husin, 34 bersyukur kerana suspek tidak bertindak luar kawalan.

Mangsa, Amalina Hassan, 24 berkata, kejadian itu hanya disedari apabila keluarganya bangun untuk solat Subuh.

"Taktik yang digunakan sama sahaja, suspek potong besi tingkap di bahagian tengah, tarik keluar cermin dan masuk ikut tingkap.

"Kebetulan beg tangan mak ada di atas sofa, suspek ambil beg tangan itu. Jadinya, kad pengenalan, kad bank, duit tunai lesap," katanya.

Amalina memberitahu, laporan polis telah dibuat malah ibunya juga terus ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan baharu.

Menurut Ketua Peneroka Felda Sebertak, Ahmad Long berkata, dalam tempoh 33 hari sepanjang tahun ini sahaja, sudah tiga kali kejadian pecah rumah dilaporkan berlaku di sekitar kawasan ini.

Tambahnya, sebelum ini, sebanyak enam kes dilaporkan dan kejadian terkini, penduduk mendakwa sebanyak enam buah rumah lagi berjaya dipecah masuk pencuri antara jam 2 hingga 5 pagi.

"Mangsa telah membuat laporan polis dan pihak polis juga telah melakukan siasatan awal di setiap rumah mangsa.

"Kita harap, penduduk lebih berwaspada demi keselamatan masing-masing pada masa akan datang, dan bersama-sama bekerjasama membanteras jenayah di kampung ini," kata Ahmad.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan masih lagi dijalankan.

via
Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/semasa/pencuri-sempat-jamu-selera-ketika-pecah-masuk-rumah-1.484613

0 comment... add one now