Makam Khas Al-Quran

Makam Khas Al-Quran,ok: Terletak jauh di kawasan pergunungan gersang mengelilingi bandar Quetta di barat daya Pakistan, tersembunyi sebuah gua dipenuhi al-Quran yang melindungi kitab suci berkenaan.

Makam Khas Al-Quran

Gunung yang dikenali sebagai Jabal-e-Noor atau Gunung Cahaya itu dilawati ratusan ribu pengunjung sejak dua beradik, Abdul Sammad Lehri dan Abdul Rashid menjadikan ia sebuah ‘makam’ untuk kitab lama al-Quran.

Makam Khas Al-Quran

Beberapa salinan kitab suci yang disimpan di sebuah gua di gunung berkenaan dikatakan berusia lebih 600 tahun.

“Kami sudah menanam sekurang-kurangnya lima juta guni al-Quran lama di gua ini,” kata penjaga ­Jabal-e-Noor, Muzaffar Ali.

Makam Khas Al-Quran

Bagaimanapun, gua berselirat di gunung berkenaan semakin hampir mencapai kapasiti maksimum.
Beratus-ratus guni yang mengandungi salinan al-Quran lama kini terbiar di tepi gunung ketika pihak pengurusan berusaha membuat ruangan tambahan untuk menyimpannya.

Abdul Sammad berkata, keghairahannya untuk melindungi al-Quran bermula pada 1956 apabila dia menemui sehelai kertas surat khabar dengan gambar Kaabah yang besar di lantai kereta rakannya.
Dia mengambil helaian akhbar berkenaan dan berikrar untuk melindungi ayat suci al-Quran dan imej yang melambangkan agama Islam.

Makam Khas Al-Quran

Ujarnya, pada 1992, dia dan adiknya, Abdul Rashid mengusahakan kilang memecah batu di satu kawasan yang disewa berhampiran gunung di luar Quetta.

“Kami hanya menggunakan sebahagian kecil kawasan yang disewa dan saya mendapat idea untuk menanam al-Quran lama di dalam gunung ini,” katanya.

Di Pakistan, sebarang tindakan yang dianggap tidak menghormati al-Quran boleh menyemarakkan dakwaan kekufuran dan boleh dihukum bunuh, sama ada oleh kerajaan atau di tangan perusuh sendiri.

Makam Khas Al-Quran

Orang Islam percaya al-Quran adalah pesanan Tuhan yang disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW kepada manusia.

Atas sebab itu, ayat yang terkandung dalam al-Quran dianggap suci dan salinan al-Quran lama perlu dilupuskan dengan penuh rasa hormat.

Ulama di Pakistan hanya meluluskan dua kaedah iaitu membalut kitab suci itu dengan kain sebelum ditanam di tanah atau meletakkan ia pada air mengalir sehingga dakwat hilang daripada halaman.
Bagaimanapun, Abdul Sammad, 77, yang juga se­orang ahli perniagaan berpengaruh, mempunyai satu idea yang dianggap satu pembaharuan dan pada masa yang sama sangat berisiko.

Abdul Sammad merancang membina sebuah kilang kitar semula al-Quran pertama di negara itu.
Langkah itu mungkin menjadikan gua berkenaan sebagai satu sasaran.

Di negara jiran, Afghanistan pada 2011, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan memusnahkan sebahagian kilang kertas yang didakwa mereka mengitar semula al-Quran menjadi tisu tandas.

Di Pakistan pula, sekumpulan perusuh membakar sebuah kilang di wilayah Punjab pada November 2015 selepas seorang pekerja dituduh membakar helaian al-Quran di dalam dandang.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila ulama Pakistan bersetuju dengan cadangan Abdul Sammad itu.

Makam Khas Al-Quran

“Ulama meluluskan kilang kitar semula al-Quran itu sekiranya kertas yang dihasilkan diguna untuk mencetak kitab berkenaan semula,” kata pengerusi Majlis Ulama Pakistan, Tahir Mehmood Ashrafi.
Mufti Muneeb-ur-Rehman pula memberitahu, al-Quran boleh dikitar semula sekiranya tulisan pada halaman dihilangkan dan cecair yang digunakan untuk menghilangkannya dilupuskan mengikut syariat Islam.

“Selepas itu kertas daripada al-Quran itu boleh dikitar semula untuk menghasilkan kadbod atau apa sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Sammad memberitahu, ketika ini idea itu masih lagi dalam peringkat cadangan. - AFP

via
Harian Metro 

0 comment... add one now