FELDA Akhirnya Akui Alami Masaalah Kewangan & Penyelewengan Teruk?,ok!: Akhirnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terpaksa mengaku yang ia mengalami masalah kewangan yang teruk, khususnya berkaitan pengaliran tunai.
Untuk sekian lama pelbagai pihak bertanya dan membuat andaian mengenai kemungkinan agensi pembasmian kemiskinan itu mengalami masalah kewangan akibat urus tadbir yang lemah dan penyelewengan.
Pada 17 Januari, Bernama melaporkan yang Felda akan menjual secara agresif hartanya di dalam dan luar negara tahun ini bagi menstabilkan pengaliran tunai.
Agensi berita nasional itu memetik Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, sebagai berkata harta yang akan dijual termasuklah saham-saham Malayan Banking dan hotel di London.
Tidak ramai pelabur, khususnya pelabur institusi seperti Felda, akan menjual saham blue chip yang kukuh dan terjamin seperti saham Malayan Banking melainkan mereka betul-betul terdesak.
Maaf cakaplah kalau saya kata, pengakuan Shahrir itu mendedahkan kehambaran pengurusan dan prestasi Felda sejak ia dikepalai oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mulai 1 Januari 2011.
Mohd Isa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun. Nyawa politik beliau dihidupkan semula oleh Mohd Najib setelah digantung keahlian daripada Umno pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi setelah didapati bersalah mengamalkan politik wang.
Selama lima tahun di bawah pengawasan beliau, Felda memperluas dan mempelbagaikan perniagaan Felda walaupun prestasi perniagaan utamanya, iaitu perladangan mengalami masalah kronik akibat kelembapan harga getah dan kelapa sawit.
Di bawah pimpinan beliau, Felda memasuki bidang hartanah, perhotelan dan pengilangan bijirin di luar negara serta mengkorporatkan aset melalui penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada tahun 2012.
Walaupun kedudukan kewangan Felda tidak kuat dan peneroka mengalami pelbagai masalah pembayaran, pengurusan Felda di bawah Mohd Isa terus mengembangkan perniagaan.
Yang terakhir dan penuh kontroversi adalah pembelian ladang Eagle High milik tauke Indonesia, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh. Felda membayar harga yang jauh lebih tinggi daripada harga saham Eagle High di bursa saham.
Seperti yang telah saya catat dalam kolum sebelum ini, Felda nampaknya melakukan perluasan perniagaan lebih berasaskan kepada tuntutan politik daripada perniagaan berhemah. Misalnya penswastaan aset, termasuk tanah peneroka melalui FGV yang kini mengalami masalah kejatuhan harga saham yang teruk dan kerugian perniagaan.
Bernama memetik Shahrir sebagai berkata, penjualan harta itu adalah bagi menstabilkan aliran tunai, membiayai kegiatan serta memulihkan ‘aset bermasalah’ di bawah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Kedudukan kewangan Felda nyata teruk apabila mengalami masalah aliran tunai (cash flow). Aliran tunai adalah tunjang kepada perniagaan. Ia adalah perimbangan di antara wang keluar dengan wang masuk.
Nampaknya dalam kes Felda, duit keluar lebih banyak daripada duit masuk. Bukan itu saja. Di bawah Mohd Isa, Felda kerap dituduh membeli aset yang tidak strategik atau bermutu rendah tetapi membayar harga tinggi. Ini menimbulkan dakwaan bahawa pembelian itu tidak telus dan dipengaruhi oleh unsur-unsur bukan perniagaan atau yang tidak mengutamakan kepentingan peneroka.
Menurut Shahrir, antara aset yang akan dijual ialah 35 juta saham Malayan Banking (Maybank). Felda bercadang menjualnya pada harga RM8.05 sesaham bagi memperoleh RM280 juta.
Saya kurang pasti mengapa Shahrir menyebut harga RM8.05 sesaham kerana harga saham Maybank lebih mahal daripada itu. Ia tutup pada kadar RM8.25 pada hari Khamis.
Selalunya apabila kita menjual saham mutu tinggi seperti saham Maybank secara blok kita meminta harga premium iaitu lebih tinggi daripada harga runcit di pasaran.
Kalau Shahrir ikhlas dan berani melakukan yang terbaik untuk Felda dan para peneroka, saya rasa elok sekiranya beliau melantik juruaudit luar (external auditors) bagi membuat audit forensik ke atas akaun serta kegiatan Felda, khususnya FIC. Saya akan mengecap Shahrir sebagai hanya cakap kosong kalau tidak bertindak tegas dan di luar kotak.
Memecat ahli Lembaga Pengarah FIC dan melantik anggota baharu tidak bermakna kalau masih berlaku ketirisan dan campur tangan politik dalam pengurusan Felda, khususnya menjelang PRU akan datang.
Masalahnya Shahrir sendiri seorang ahli politik dan tidak kurang akrabnya dengan Perdana Menteri. Wallahuaklam.
sumber
A KADIR JASIN
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/a-kadir-jasin/benar-felda-alami-masalah-kewangan-1.615213
FELDA Akhirnya Akui Alami Masaalah Kewangan & Penyelewengan Teruk?
VideoViralMalaysia0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →