Kenangan Itu Tak MUNGKIN Luput - Veteran Bakara Market, Mogadishu

Kenangan Itu Tak MUNGKIN Luput - Veteran Bakara Market, Mogadishu : Linangan air mata sebahagian besar daripada hampir 100 anggota tentera dan veteran yang terlibat dalam pertempuran di Pasar Bakara, Somalia setelah 22 tahun tragedi itu berlaku, cukup untuk menggambarkan betapa kenangan itu tidak pernah luput daripada ingatan masing-masing.


Sejak dari awal majlis mengenang keperwiraan mereka itu yang berlangsung di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, air mata sebahagiannya sudah tertumpah.

Segalanya bermula apabila ketibaan mereka dengan sebuah bas khas disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin serta Komander Malbatt 1, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Latif Ahmad yang mengetuai mereka dalam misi di Somalia.

Masing-masing saling bersalam dan berpelukan. Ada di antaranya sudah tidak segagah dahulu dan berkerusi roda namun masing-masing tampak ceria bercampur sedih bertemu rakan-rakan lama sambil saling mengungkit kisah silam.

Sejurus sahaja lagu Negaraku dan doa dibaca, emosi penonton terutamanya wira-wira itu terus dihenjak.

Persembahan pantomin mengenai peristiwa tersebut selama kira-kira 30 minit seolah-olah mengembalikan mereka ke medan pertempuran.

Teriakan ‘lawan!’ dan ‘Allahuakhbar’ beberapa kali kedengaran dari khemah yang menempatkan wira-wira itu menandakan semangat mereka yang tidak pernah terpadam.

Paling meruntun hati, pantomin tersebut turut melakonkan semula detik-detik bagaimana kereta perisai APC Condor dipandu Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang ditembak menggunakan senjata anti kereta kebal (RPG) sekali gus mengorbankan anak kelahiran Parit Panjang, Baling itu.

Saya Mahu Jadi Tentera Yang Berani Seperti Ayah ~ Anak Allahyarham Koperal Mat Aznan

Mengulas mengenai majlis yang julung-julung kali diadakan itu, balu Allahyarham, Siti Zauyah Yahya, 49, memberitahu beliau berterima kasih atas kesudian Kementerian Pertahanan menjemputnya ke majlis tersebut.

“Jika sebelum ini saya hanya mendengar bagaimana suami saya syahid di medan pertempuran daripada sahabat-sahabatnya di sana, hari ini saya seolah-olah dibawa kembali ke hari kejadian untuk melihat sendiri bagaimana kejadian itu berlaku melalui lakonan pantomin.

“Ia sekali gus membuatkan saya terbayang wajah arwah sewaktu jasadnya dikembalikan kepada saya. Walaupun sudah sembilan hari tragedi berlalu, darah pada tubuh arwah seolah-olah masih baharu membuatkan saya yakin beliau merupakan antara insan terpilih untuk meninggal dunia dalam keadaan yang baik," katanya ketika ditemui pemberita.

Mengakhiri pantomin itu, sajak nukilan salah seorang daripada wira terlibat, Mejar Mat Azman Mat Piah, 49, bertajuk ‘Bakara Market - Somalia’ dihayati dengan penuh emosi oleh para hadirin.

“Saya menjiwai pantomin yang dipersembahkan hari ini menerusi latihan-latihan yang dibuat mereka terlibat.

“Daripada situ serta berbekalkan pengalaman di Somalia, saya menjiwai tragedi tersebut yang lebih dikenali sebagai Black Hawk Down untuk menghasilkan sajak berkenaan,” kata Mat Azman.

Blackhawk Down
Persembahan pantomin pertempuran Malbat 1 UNOSOM II di Bakara Market, Mogadishu....agaknya bila org kita nak filemkan kisah ni yekkk..viaBerita Harian
Posted by Video Viral on Thursday, 29 October 2015

via
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kenangan-i-black-hawk-down-i-masih-utuh-1.151909#sthash.f4tkrSzc.dpuf

0 comment... add one now