Kisah Jenazah Berbau Wangi Ini Benar,ok : “Hidung saya seakan-akan terusik apabila tercium sesuatu haruman yang belum pernah saya hidu semasa sedang melakukan kerja-kerja menggali liang lahad pagi Isnin lalu."
Demikian kata penggali kubur dari Masjid Tuan Hussain Bukit Tukang Jusoh, Pantai Merdeka, Azhar Zainol Abidin, 37, yang berpengalaman melakukan tugas menggali sejak berusia 17 tahun.
Menurutnya, pagi itu, kerja menggali yang dimulakan sejak jam 7.30 pagi berjalan lancar bersama dua lagi petugas bagi menyempurnakan pengebumian seorang jenazah wanita yang meninggal dunia.
"Lepas beberapa jam gali, kami terpegun bila nampak kain putih yang membaluti satu jenazah lengkap berkopiah dan berbantal masih sempurna sedangkan keranda di kelilingnya dah tak ada," katanya.
Azhar berkata, ketika itu, fikirannya mengimbau kembali peristiwa pengebumian seorang anak kariah yang juga diuruskannya pada 2009, Allahyarham Ismail Hashim yang kembali ke rahmatullah ketika usia 57 tahun.
"Saya pasti ini jenazah beliau yang masih sempurna dengan balutan kain masih elok dan kepalanya berbantal selain jenazah mengiring ke arah kiblat seolah-olah baru dikebumikan.
“Kejadian ini benar-benar menunjukkan bukti kekuasaan ALLAH SWT kepada manusia dan umat Islam yang masih hidup,” katanya.
Katanya, sepanjang hayat Ismail yang dianggap seperti seorang ayah merupakan seorang rakan baik yang warak, berpendirian tegas, berterus-terang dan sering memberi peringatan sentiasa berbuat baik.
"Saya cukup kenal arwah. Dia seorang yang tegas dalam bab solat, selalu datang kuliah di banyak masjid sekitar Kota Kuala Muda, Tikam Batu dan Sungai Petani selain rajin belajar ilmu agama," katanya.
Arwah pentingkan solat berjemaah
Isteri arwah, Jamilah Shafie, 57, dari Kampung Projek Udang Teluk Nipah, Pantai Merdeka yang menerima perkhabaran mengenai jenazah suaminya masih sempurna bersyukur selain terus berdoa supaya ALLAH meletakkan arwah dalam kalangan orang-orang beriman.
"Sepanjang berkahwin, arwah mesti berjemaah dekat masjid. Kalau boleh setiap waktu mesti diisi dengan aktiviti bermanfaat. Arwah juga seorang yang teliti dalam kerja, sabar dan sukakan kebersihan.
"Arwah akan pastikan solat Subuh dan Isyak mesti berjemaah di masjid walau dalam apa keadaan sekalipun selagi diizinkan termasuk waktu-waktu lain," katanya.
Menurut Jamilah, beliau hanya mengetahui penyebaran gambar jenazah suaminya apabila anaknya menunjukkan gambar jenazah yang sempurna menjadi viral di Facebook selain turut tersebar luas di internet.
Mimpi arwah suami muncul
Jamilah berkata, kelmarin dia ada termimpikan arwah suaminya datang kepadanya dengan memakai jubah putih dan berkopiah.
"Walaupun kami tak cakap apa-apa tapi hati saya tenang dan terubat rindu bila tengok arwah macam tu," katanya.
Katanya, sepanjang hayatnya, Ismail sentiasa berpesan kepadanya dan anak-anak supaya sentiasa berbuat baik, rajin ke masjid serta membaca al-Quran yang sentiasa dijadikan amalannya.
"Satu amalan arwah suami ialah rajin bersedekah namun dia buat senyap-senyap sampai kami ahli keluarga langsung tak tahu.
"Pernah sekali dia bagitahu dia sedih tak dapat ikut solat berjemaah di rumah sebab sedang sakit dan pergerakan terhad. Tapi saya pujuk dia solat sendirian kalau tak mampu nak berjemaah," katanya.
Dihormati orang kampung
Jiran, Mazurah Mansor, 43, berkata, sejak mengenali arwah, umum mengetahui Ismail seorang yang tegas dalam pendirian.
"Orang kampung sangat menghormati perwatakan arwah yang tegas dalam bab agama, selalu jadi rujukan dan panduan anak kampung selain selalu nasihat untuk sama-sama lakukan perkara disuruh serta tinggalkan larangan ALLAH," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Mohd Nazif Zakaria berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai keadaan jenazah masih sempurna ketika penggali kubur sedang melakukan tugas pengebumian 5 Oktober lalu.
“Kita menerima maklumat dan menghubungi jawatankuasa masjid sebelum mengesahkan kejadian. Ia terjadi apabila petugas yang sedang melakukan kerja-kerja menggali untuk jenazah baru, ternampak jenazah lama yang masih elok.
“Mereka kemudian mengeluarkan jenazah lama terlebih dahulu untuk mengebumikan anak kariah sebelum memasukkan kembali jenazah ke tempat asal dengan tertib,” katanya.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai mengambil iktibar daripada kejadian tersebut kerana ia merupakan bukti kekuasaan ALLAH ke atas orang-orang yang dikehendaki-Nya.
via
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bau-harum-dari-liang-lahad-1.438107