Maklumlah, setiap rakyat Malaysia yang menetap sekurang-kurangnya selama setahun di luar negara (kecuali negara ASEAN) adalah layak memohon Approval Permit (AP) bagi membeli dan membawa pulang sebuah kereta.
Begitu juga dengan situasi saya dan isteri yang sudahpun dua tahun menetap di Jepun. Sudah tentu turut mencari dan menghitung bajet bagi membawa pulang sebuah kereta dari sini. Bak kata orang, ‘sayang seribu kali sayang’ jika peluang keemasan seperti ini tidak diambil.
INI BUKAN KERETA YANG KAMI TEMPAH. MASIH MAHAL DAN BUKAN DALAM BAJET KAMI. MEREKA YANG OKANE MOCHI (BANYAK DUIT) BOLEH BELI KERETA INI. |
Mana taknya kereta Estima keluaran tahun 2012 dengan ‘mileage’ kurang daripada 20,000 boleh dibeli dengan harga kurang daripada RM100,000 setelah dicampur kos penghantaran, cukai dan lain-lain. Malah, boleh dapat lebih murah lagi jika gigih mencari di kedai-kedai seluruh Jepun, laman web kereta terpakai ataupun menggunakan kaedah pembelian kereta secara lelongan. Syaratnya, kereta tersebut perlu dibeli 9 bulan sebelum pulang ke tanahair.
Kami berhasrat untuk membawa pulang hanya sebuah kereta sahaja walaupun isteri juga turut layak memohon satu AP. Di sebalik keghairahan mencari dan memilih kereta, akhirnya saya dan isteri bersetuju memilih kereta Estima S-Edition terpakai berwarna ‘mutiara’ dengan harga sekitar 1.4 juta yen bersamaan hampir RM56,000++ mengikut kadar pertukaran wang sekarang.
Walaupun kereta tersebut sudah agak sedikit berusia, namun kondisinya masih kelihatan baru dan cukup menyenangkan hati kami lima sekeluarga. Tambahan pula, itulah bajet yang kami ada untuk merealisasikan impian membawa pulang sebuah MPV. Cukuplah bajet 1.4 juta yen itu, maklumlah tahun ini sahaja aliran keluar wang tunai dari akaun simpanan terlalu drastik.
NI KERETA YANG KAMI BATALKAN URUSAN PEMBELIAN JUAL BELI. CUKUPLAH GAMBAR JADI KENANGAN. |
Lalu saya pun menurunkan tandatangan sebagai tanda persetujuan dalam helaian perjanjian jual beli kereta bertulisan kanji dan huruf-huruf Jepun. Sudah tentu saya dan isteri terpingga-pingga apabila diterangkan satu-satu syarat dalam dokumen perjanjian jual beli tersebut. Ada yang kami fahami, dan ada juga yang kami ‘buat-buat’ faham.
Bila ditanya, “Shiharai wa dou deska (bayaran macamana ya)?”
Dengan pantas saya menjawab “Genkin (tunai)!” Maklumlah itu sahaja pilihan yang ada, dan mana mungkin bank Jepun boleh memberikan pinjaman kereta buat ‘pelajar tua’ seperti saya ini.
Banyak prosedur yang perlu dilalui sebelum membeli kereta di Jepun ini. Antaranya, perlu mendapatkan ‘inkan touroku shomeisho (surat pengesahan pendaftaran cop nama), ‘juminhyo (surat pengesahan penduduk)’ dan pelbagai lagi. Bukan itu sahaja, saya juga perlu mendapatkan ‘shako shomei (surat memiliki parking kereta) daripada pihak oyasan (tuan rumah) atau fudousan (agen rumah atau hartanah). Proses ini biasanya mengambil masa 2 hingga 3 minggu.
DALAMAN KERETA YANG DIJAGA DAN MASIH TERPELIHARA DENGAN BAIK. |
Menariknya, tiada sebarang deposit yang diminta untuk pembelian kereta ini. Saya hanya perlu menjelaskan keseluruhan bayaran apabila mengambil kunci kereta tersebut untuk dibawa pulang kelak. Saya dan isteri tersenyum lebar membawa pulang dokumen-dokumen yang perlu dilengkapi dan hanya menghantar semula dokumen tersebut dengan menggunakan sampul surat yang telah disediakan.
Namun, ku harapkan ‘panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari’ telah menyebabkan saya dan isteri terpaksa membatalkan pembelian kereta tersebut. Rasa bersalah menyelubungi diri dan kerisauan hati lagi bertambah. Lebih-lebih lagi apabila dokumen perjanjian jual beli kereta lengkap dengan ‘cop mohor’ setem hasil Jepun telah diterima.
Dua malam juga saya tidak lena melelapkan mata apabila mengenangkan situasi ini. Lebih-lebih lagi, perjanjian tersebut telah ditandatangani sejak 2 minggu yang lalu.
Tapi apakan daya, halangan untuk memiliki kereta MPV kali ini begitu kuat sekali. Pembatalan pembelian perlu dibuat dengan segera. Tak kiralah apa sahaja tindakan undang-undang dan pembayaran yang perlu dilakukan saya sedia hadapi. Kiraan saya, barangkali bayaran denda membatalkan perjanjian jual beli ini lebih kecil berbanding nilai 1.4 juta yen yang tidak berupaya disediakan dalam masa terdekat.
SUKA SANGAT DENGAN DALAMAN KERETA INI. GAMBAR JADI KENANGAN BUAT KAMI LIMA SEKELUARGA. |
Rasa bersalah yang amat sangat dan ‘kemendungan’ hati kami seiring dengan rintik-rintik hujan yang turun membasahi bumi. Apabila kelihatan kereta kami dari kejauhan memasuki perkarangan kedai, tanpa payung dan dengan senyuman yang paling manis dikejarnya kereta kami untuk memandu kami memasuki ke tempat parking. Lagilah sebak hati kami dilayan sebegitu.
Setelah keluar dari kereta, Higashino san jurujual yang kami berurusan sebelum ini mengajak masuk ke ruang pelanggan. Sewaktu melangkah masuk, kami disapa mesra oleh semua pekerja di dalam pejabat tersebut.
“Irrashaimase (selamat datang)”, jelas kedengaran suara pekerja di dalam kedai menyambut kehadiran kami.
Seperti biasa, kami dipelawa duduk di meja tetamu dan turut ditawarkan untuk memilih minuman sejuk ataupun panas mengikut menu yang tertera. Kali ini, kami tidak sampai hati untuk mengambil minuman percuma yang disediakan. Kami ingin segera berbincang perihal urusan membatalkan pembelian.
Higashino san seakan mengerti maksud kami dan terus duduk bersedia dengan senyuman untuk mendengar luahan hati kami.
Lantas kawan saya memulakan kata-kata dengan penuh berhati-hati. Bicara kami kali ini tidak seceria sebelum ini.
“Sumimasen, Isuma wa katei no keizai teki na mondai ga atte, kuruma wo kau koto ga chuushi shimas (Maaf, Isma ada masalah kewangan keluarga. Dia terpaksa membatalkan pembelian kereta tempohari”, kata kawan saya yang sangat berhati-hati.
Tanpa raut muka terperanjat apatah lagi marah, Higashino san dengan lembut berkata, “Takpa ya, saya tanya dulu ‘boss’ saya.”
Beberapa minit kemudian, Higashino san datang semula dan memaklumkan kepada kami.
“Boleh membatalkan perjanjian jual beli. Namun, kos dokumentasi dan juga selenggaraan kereta tersebut yang telah kami lakukan perlu dibayar oleh pihak tuan.”
Saya tunduk akur memahami dan telah berkira-kira difikiran saya barangkali hampir 50,000 yen (RM2000++) kos selenggaraan jika saya terpaksa membayarnya. Memanglah banyak nilai tersebut. Namun, jumlah tersebut dikira masih rendah berbanding dengan nilai 1.4 juta yen yang kami tidak mampu sediakan dikala itu.
Saya minta kawan saya bertanyakan kos-kos yang perlu dibayar secara terperinci dan saya bersedia membayarnya.
KERETA YANG TERPAKAI YANG MASIH KELIHATAN BARU. ORANG JEPUN JAGA SUNGGUH KERETA MEREKA. |
Setelah hampir 15 minit, Higashino san kembali semula kepada kami. Dia memaklumkan, “Kamu tak perlu membayar apa-apa. Kereta tersebut tidak dibuat apa-apa lagi.”
Kami seakan tidak percaya dengan jawapan tersebut dan bertanya lagi untuk kepastian.
Higashino san mengulangi ayat yang sama. Masih segar kata-kata Higashino san di benak saya.
“Shouganai ne (tiada masalah, tak boleh nak buat macamana),” lembut tutur kata-katanya seakan memahami benar situasi saya.
Saya minta Higashino san mengira kos-kos dokumentasi, setem hasil, minuman yang telah disediakan dan saya bersedia membayarnya.
Higashino san mengulangi sekali lagi yang saya tidak perlu membayarnya.
Perasaan malu ‘tidak berduit’ menyebabkan kami ingin segera pulang. Kami mohon izin untuk pulang dan Higashino san tetap mengiringi kami keluar. Sewaktu melangkah keluar pintu kedai, Higashino san berkata kepada rakan-rakan sekerja yang lain.
“Okyakusama kaerimas (pelanggan nak balik)”, kata Higashino san.
Pekerja lain menyambut, “Arigatou gozaimashita (terima kasih banyak-banyak).”
Lagi luluh dan sebak hati kami apabila Higashino san masih mahu menghantar kami ke kereta walaupun rintik-rintik hujan terus membasahi bumi. Dia masih tetap melayani kami dengan senyuman walaupun hari ini kami hadir untuk membatalkan urusan dan perjanjian jual beli.
Sebelum saya memasuki kereta, masih sempat saya melafazkan kata-kata yang pernah diajar isteri.
“Moshiwakearimasen (minta maaf sangat)”, tunduk saya kali ini bersungguh-sungguh.
“Ili iie daijoubu (takpa, takpa, tak perlulah)”, kata Higashino san.
KERETA-KERETA TERPAKAI YANG MASIH CANTIK KONDISINYA. |
Sebak lagi hati kami meninggalkan kedai kereta tersebut. Lebih luluh hati kami apabila menerima layanan sebegitu. Namun, apakan daya air mata lelaki kami tidak berupaya dipaksa keluar.
Bukan sekali dua saya pernah menerima layanan sebegini. Acapkali sudah layanan setinggi 5 bintang yang kami sekeluarga pernah terima sepanjang berada di Nihon.
Kini kami mengerti, memahami dan merasai sendiri kenapa orang Jepun tidak mengamalkan ‘Customer is King (Pelanggan Ibarat Raja)’ dalam khidmat pelanggan (customer service) mereka. Ini kerana, mereka menerapkan ‘Okyakusan wa Kamisama (Pelanggan Ibarat Tuhan)’ yang perlu dilayani dengan baik.
Saya percaya jika dicampakkan ‘rasa bertuhan’ dan iman dalam diri orang Jepun ini, barangkali mereka lebih baik akhlak dan budi pekerti.
Tidak dinafikan ada juga mereka kurang mesra pelanggan, tidak beramanah dan sebagainya. Namun, jumlahnya masih kecil berbanding perkhidmatan dan layanan yang pernah kami terima sepanjang berada di sini.
Sehingga kini, peristiwa ini masih segar diingatan kami sekeluarga. Sudah tentu banyak pengajaran yang kami pelajari dan perlu ambil disebalik kisah suka duka membeli kereta serta kehidupan di negara yang terkenal dengan jolokan Negara Matahari Terbit ini.
Sekadar perkongsian dari kejauhan.
Sayonara! Sampai jumpa lagi.
via
TheVocket