Kerana Selipar Ke Sekolah

Kerana Selipar Ke Sekolah,ok!: Dari jauh aku perhati murid ini pakai selipar lagi datang ke sekolah. Sedikit geram aku rasa. Sebab Jumaat lepas aku dah tegur, katanya kasut basah.

Kerana Selipar Ke Sekolah

Hari Isnin dan Selasa pun katanya kasut basah lagi. Aku maafkan dan pesan supaya jaga kasut elok-elok. Jemur belakang peti sejuk dan letakkan surat khabar dalam kasut, pesanku.

Dia angguk saja sambil menunduk. Tapi Rabu lepas, dia masih tak pakai kasut!

Tercabar jugalah aku sebagai guru disiplin ini. Aku dah tegur elok-elok siap bagi petua dan pesanan lagi. Tapi jika berkali-kali tidak dihirau siapa yang tak marah, ye tak?

"Aisyah, datang sini!" dengan tegas aku memanggil dia.

Dari jauh nampak dia ketakutan disergah guru. Dia tahu dia bersalah. Perlahan dia datang dekat aku. Matanya memandang lantai.

"Awak dah kenapa? Dari Jumaat lepas cikgu pesan suruh pakai kasut. Setiap hari awak pakai selipar dengan alasan kasut basah.

Sebelum ini memang cuaca tak menentu. Semalam tak hujan pun. Kenapa pakai selipar?" tegas aku bertanya.

Sebelum ini dah banyak kali aku berlembut. Kali ini aku kena tegas.

Dia hanya merenung lantai. Tak berani bertentang mata dengan si guru yang tengah marah. Perlahan dia menjawab,

"Kasut saya basah, cikgu. "

Aku tak dapat terima alasan itu. Sebab hari Semalam tidak hujan. Aku bagi amaran terakhir. Keras dan tegas!

********

Semalam, ada cikgu cakap kat aku Cikgu Sariza cari aku. Ada hal katanya. Kebetulan ada masa free, aku jumpa Kak Sariza di kantin.

"Fadli. Aisyah tu murid kelas akak. Kesian kat dia, duit belanja selalu tak bawa. Kasut dia pula rosak. Langsung tak boleh nak tampal dah.

Sebab itu dia tak pakai kasut ke sekolah. Mak dia muallaf," jelas Kak Sariza.

Tersentak aku mendengar penjelasan Kak Sariza. Rupanya dia malu nak bagitahu kasut dia rosak.

Dia malu hendak meluahkan segala kesusahan yang melanda diri dan keluarganya. Rasa bersalah membuak-buak datang menyerang sanubariku.

"Tak apa kak. Saya memang nak lancar Projek Beg Sekolah, Uniform Sekolah dan Kasut Sekolah bulan ni. Untuk kegunaan murid miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan pada sesi persekolahan tahun depan.

Saya akan masukkan dia dalam list saya," balasku dan beredar.

Aku cepat-cepat keluar kerana nak cari Aisyah. Setiap murid yang aku jumpa, aku kerah cari Aisyah. Kebetulan masa tu waktu rehat. Memang payah nak jumpalah.

Tidak lama kemudian, Aisyah dan adiknya datang. Mata mereka berdua tunduk memandang lantai.

Cantik budak berdua ini. Berkulit putih, bermata sepet. Maklumlah, ibunya muallaf. Pakaiannya bersih dah rapi. Baju nampak kemas bergosok, walau bukan baju baru, tapi nampak sangat terjaga sekali.

"Kenapa awak tak bagitahu cikgu kasut awak rosak?" soalku.

Dia diam. Tiada sepatah suara keluar. Mata masih memandang lantai kantin.

"Awak ada duit nak makan?" soalku.

Geleng. Adik dia turut geleng kepala sama.

Aku keluarkan RM4 dari beg, dan bagi RM2 seorang.

"Nah, buat beli makanan. Pergi makan," ujarku.

Dia mengangkat kepala dan memandangku dengan mata berkaca,

"Terima kasih cikgu. Terima kasih. "

Sebak aku rasa. Sangat sebak. Aku marahi dia atas nasib keluarga yang diuji Tuhan di atas sana. Dan dia redha dimarahi tanpa membuka kisah sebenar.

Walau sebak, aku tahan sekuat hati. Air mata aku telan, ramai mata menyaksikan aku bersoal jawab dengan Aisyah termasuk rakan guru.

Namun sewaktu menulis kisah ini, mata aku bergenang. 😭

Sewaktu dia berpaling hendak pergi, aku berpesan padanya,

"Esok bawa kasut awak yang rosak tu bagi kat cikgu ya."

Di mengangguk tanda faham dan berlalu pergi. Hilang dicelahan ratusan murid yang riuh rendah membeli makanan waktu rehat.

**********

Hari ini, sebaik sampai sekolah aku terus mencari Aisyah. Aku tarik dia ke belakang, jauh dari orang dan minta dia bagi kasut dia kat aku.

Inilah kasutnya. Aku ambil dan simpan dalam kereta. Aku nak beli kasut baru buat dia. Tak perlu tunggu tahun depan, tak perlu tunggu projek amal aku mula.

Sekolah berbaki dua bulan lagi. Aku tak sanggup biarkan anak ini terus rasa rendah diri datang ke sekolah dengan memakai selipar. Aku tak nak dia malu nak menjawab soalan setiap guru kenapa dia berselipar setiap hari.

Dan setiap hari juga aku akan cari anak ini dan adiknya untuk beri wang belanja. Lebihan kiriman sahabat dalam Projek Amal yang lepas masih berbaki ditangan. Bolehlah aku guna untuk tujuan ini.

***********

Sewaktu dia datang jumpa aku tadi, aku perasan beg itu. Itu beg Swan yang aku agih dalam Projek Beg Sekolah tahun lepas. Masih kukuh dan elok. Aku memang beli yang berkualiti bila nak sedekah atau hadiah apa-apa kat orang.

Projek Beg Sekolah ni aku dan 'run' masuk lima tahun dah tahun ni. Cari dana, beli beg dan hadiahkan pada murid miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Kawan dan followers lama aku memang dah maklum dan tahu.

Jadi sempena Hari Jumaat yang barakah ini, aku umumkan Projek Beg Sekolah, Uniform Sekolah dan Kasut Sekolah untuk golongan sasar aku buka.

Ini maklumat akaun jika kalian ingin turut serta dalam setiap projek amal yang aku uruskan melalui Dana Kita.

No akaun : 564221646925
Bank : Maybank.
Nama : Pertubuhan Kebajikan Dana Kita

Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

************

P/s : Ini kisah 2 tahun lepas. Aku muat naik semula kerana setiap tahun, setiap masa aku mencari dana untuk membantu golongan sebegini.

Dan diluar sana, sangat ramai yang senasib dengan Aisyah sebenarnya. Samada kita cakna atau buat tidak tahu saja.

#DanaKITA
#MFS
- Demi Aisyah dan rakan-rakan senasib, cikgu akan bangkit!
.

Kredit
FB Mohd Fadli Salleh

0 comment... add one now