Tiada Lagi Subsidi RON95 Mulai Disember Ini: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mengumumkan mulai 1 Disember, penetapan harga runcit RON95 dan diesel akan mengikut kaedah pengapungan terkawal.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, tiada lagi subsidi untuk RON95 dan diesel mulai 1 Disember kerana harga pasaran lebih rendah berbanding harga di pam minyak.
Untuk itu, Hasan berkata, penetapan terbaharu harga RON95 dan diesel pada 1 Disember akan bergantung pada harga pasaran minyak dunia sepanjang November.
Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Hasan berkata, harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) sejak 1983.
Melalui APM, kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu iaitu perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.
Beliau memberikan contoh harga purata RON95 yang direkodkan pada pasaran dunia dari 1 hingga 19 November 2014 ialah RM2.27 seliter, berbanding harga di pam RM2.30.
Hasan berkata, penetapan harga RON95 dan diesel pada 1 Disember nanti bergantung pada harga purata pasaran minyak dunia sepanjang November.
"Dalam hal ini kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember," katanya.
Hasan juga tidak menolak kemungkinan harga runcit RON95 pada Disember akan lebih rendah daripada harga semasa sekiranya harga pasaran minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan.
"Jika trend ini berlarutan adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM," katanya.
Kepada satu soalan Hasan berkata, penetapan harga runcit RON95 dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal akan dibuat secara bulanan.
Beliau berkata, kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk berasaskan kos setiap masa, harga pasaran dunia dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.
"Kita akan pantau setiap hari harga di pasaran dunia tetapi kita ambil purata sebulan dan waktu itu kerajaan buat keputusan sama ada naik atau turun.
"Harga mungkin turun mungkin naik tetapi trend sejak bulan-bulan lepas stabil dan menurun," katanya.
Hasan berkata, kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel itu telah dilakukan oleh kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaannya.
"Langkah ini membuktikan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia," katanya.
Ditanya sama ada pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal adalah muktamad, Hasan berkata, kerajaan proaktif dan sensitif terhadap keadaan semasa berdasarkan harga pasaran dunia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
"Pendekatan kita adalah untuk meletakkan rakyat didahulukan. Jadi apa juga yang kita boleh jimat adalah untuk kesejahteraan rakyat," katanya.- Bernama
via
http://www.sinarharian.com.my/nasional/subsidi-petrol-ron95-diesel-dihenti-1-dis-1.335447
Tiada Lagi Subsidi RON95 Mulai Disember Ini
VideoViralMalaysia0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →