Mohd Islahuddin Abdul Razak, 29, bersama bapanya Abdul Razak Baharum, 55, memfailkan saman itu pada 1 Oktober tahun lepas melalui Tetuan Azah Mahbob & Nur Ilham di Mahkamah Tinggi Sivil, di sini.
Mereka menamakan menteri pertahanan, panglima Angkatan Tentera Malaysia, panglima TUDM dan Komander Pangkalan Udara Labuan, sebagai defendan pertama sehingga keempat.
Peguam Noor Azah Mahbob, yang mewakili Mohd Islahuddin dan Abdul Razak, memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 8 Januari ini untuk mendengar permohonan defendan-defendan bagi membatalkan saman itu.
Hari ini kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif pertama mendakwa pada 11 November, 2009, dia telah dicederakan dan dianiaya oleh seorang anggota senior yang mengakibatkan gegendang telinga kanannya cedera parah.
Mohd Islahuddin, yang diterima masuk dalam TUDM pada 13 Ogos 2008 dengan pangkat Laskar Udara II dan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan, mendakwa dicederakan atas sebab kesalahan berkaitan urusan tugas dan tatacara pemakaiannya semasa bertugas.
Katanya dia sekali lagi dicederakan seorang rakan senior yang lain pada 25 November tahun sama menyebabkan gegendang telinga kirinya cedera parah.
Dia kemudiannya membuat aduan berhubung kejadian itu dan selepas dibicarakan di Mahkamah Tentera, anggota senior pertama itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan mahkamah melucutkan kekananan pangkatnya dan mengarahkannya membayar RM3,000 kepada plaintif.
Bagi anggota senior kedua yang mengaku tidak bersalah pula, mahkamah menjatuhi hukuman lima bulan tahanan di pusat tahanan tentera di akhir perbicaraan kes.
Mohd Islahuddin mendakwa selepas kejadian itu, dia disahkan doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bahawa dia mengalami trauma, masalah mental dan kemurungan teruk sejak 20 Julai, 2010.
Akhirnya, dia diberhentikan daripada TUDM selepas sidang Lembaga Perubatan Pemberhentian memutuskan dia tidak layak dalam perkhidmatan tentera kerana mengalami masalah kesihatan mental yang serius.
Oleh itu Mohd Islahuddin menuntut gantirugi RM13 juta kerana ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan itu kesan daripada kejadian dicederakan dua anggota senior berkenaan, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Bernama
via