300 Parabola Di Cameron Highland, SKMM Mula Bertindak

300 Parabola Di Cameron Highland, SKMM Mula Bertindak : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membawa keluar semua parabola yang digunakan secara terbuka oleh pekerja asing di Cameron Highlands dan melakukan siasatan bagi mengetahui pemilik alat terlarang itu.

300 Parabola Di Cameron Highland, SKMM Mula Bertindak

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaannya, Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, operasi dan siasatan bagi menghapuskan parabola itu akan diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan dianggotai polis, pihaknya dan beberapa agensi penguat kuasa lain.

Beliau memberitahu, pesalah akan disiasat di bawah dua akta iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Kastam 1967 iaitu Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

“Sekarang kita di peringkat perbincangan untuk mengambil tindakan. Sebelum sebarang tindakan diambil, kita perlu melihat tiga keperluan iaitu aspek logistik, tenaga penguat kuasa dan siasatan berhubung sumber (pihak yang memiliki parabola).

“Kita berhadapan kekangan tertentu seperti tanah didiami oleh warga asing yang menggunakan parabola itu mungkin tanah ceroboh dan kita tidak tahu siapa pemilik serta dari mana peralatan itu diperoleh.

“Sebab itu kita perlu mendapatkan kerjasama daripada pejabat tanah dan daerah. Jika tanah itu memang tanah ceroboh berkemungkinan besar pejabat tanah juga tidak mempunyai sebarang rekod tentang tanah itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zulkarnain memberitahu, meskipun parabola itu adalah alat terlarang SKMM dan pasukan penguat kuasa tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti menyita alat tersebut, sebaliknya perlu mematuhi lunas undang-undang yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, pesalah boleh dipenjara satu tahun atau denda RM50,000.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam operasi pembersihan yang diadakan baru-baru ini, pihaknya dan pasukan penguat kuasa yang lain terkejut apabila mengetahui terdapat ratusan parabola di kawasan tanah tinggi tersebut.

“Kita tidak sangka sebegitu banyak parabola terdapat di situ dan kebanyakannya memang diletakkan tersorok. Kita tidak dapat bawa turun parabola pada waktu itu kerana ada beberapa kekangan.

“Ini termasuklah kita tidak dapat kenal pasti pemiliknya, tiada siapa di kawasan itu yang mengaku. Malah anggota dan tenaga kita pada waktu itu juga tidak mencukupi. Memang orang akan kata kenapa tiada tindakan awal pada ketika itu, umum harus faham pada hari itu kita adakan operasi pembersihan dan bukan mencari parabola," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak akan berdiam diri berhubung perkara tersebut kerana parabola itu adalah barangan terlarang yang tidak boleh dimiliki sewenang-wenangnya.

Menurutnya, pelbagai cara boleh dilakukan untuk membawa masuk parabola sama ada oleh individu atau melalui barangan dari kedai peralatan elektrik.

“Parabola itu bukan dibawa masuk besar macam itu tetapi telah diasingkan kepada bahagian-bahagian tertentu,” katanya.

Ditanya mengenai harga sebuah parabola itu sekiranya diimport dari negara-negara jiran dan bilangan alat itu yang terdapat di Cameron Highlands, katanya: “Saya tak dapat nak bagi maklumat. Saya tidak boleh ulas mengenai bilangannya.”

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/parabola-terlarang-dihapus-1.112459#sthash.xCCZrbaW.dpuf

0 comment... add one now