Letih Bayar Sewa, Azree Buat Rumah Kontena : Cukupkah pinjaman RM75,000 untuk membeli tanah dan membina rumah dua tingkat? Hendak tahu jawapannya, tanyalah Muhamad Azree Abdul Rahim, kerana itulah yang telah dilakukan oleh pemuda berusia 26 tahun ini.
Beliau membeli tanah di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang dekat sini dan mendirikan di atasnya rumah dua tingkat yang diperbuat daripada kontena terpakai.
Ramai hari ini merungut kesukaran memiliki kediaman sendiri akibat kenaikan harga rumah dan kos sara hidup. Namun anak peneroka Felda dari Kluang, Johor ini telah berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan permasalahan itu.
Beliau berjaya memiliki rumah tanpa berbelanja di luar kemampuan dan melakukannya tanpa mengikat diri dalam pinjaman rumah 30 tahun.
Penulis yang melawat rumah beliau baru-baru ini mendapati rumah kontena itu cukup lengkap dengan dapur, ruang mandi dengan pancuran serta ruang makan dan santai. Malah ada juga ruang untuk katil “queen”.
Pemuda yang lebih selesa dipanggil Azree itu turut mengusahakan kebun organik di luar rumahnya. Rumah kontena itu didirikan di atas tanah pertanian yang cukup subur untuk menanam dan mencambah stevia, yang turut dijual Azree untuk pendapatan sampingan.
Beli Rumah
Keputusan beliau untuk membangunkan rumah kontena diambil setelah membuat bacaan dan kajian mendalam.
“Saya tak mahu menyewa lagi. Sudah bertahun saya menyewa bilik dalam rumah yang tak seberapa, saya kira dalam berbelas ribu Ringgit sudah habis. Tamat tempoh, rumah tiada, habuk pun tak dapat,” kata pembangun web dan sistem itu.
Ketika mencari rumah dalam harga yang mampu dimilikinya, Azree mendapati kebanyakan rumah yang dijumpai dalam keadaan uzur atau perlu banyak dibaiki.
Ini membuatkan beliau mengubah fokus daripada mencari rumah kepada mencari tanah pegangan bebas dalam lingkungan RM30,000. Dengan gaji RM3,500 dan ansuran bulanan kereta perlu dibayar, Azree perlu berhati-hati agar beban hutang tidak bertambah.
Akhirnya beliau menjumpai sebidang tanah pertanian pegangan bebas 2,400 kaki persegi di Kampung Sijangkang dengan harga RM35,000. Lokasinya 25km dari Shah Alam, tempat kerja Azree ketika itu.
“Saya teruja, walaupun tidak pernah dengar kawasan Sijangkang sebelum itu. Terus pada hari berikutnya saya ke tempat itu untuk melihat sendiri kemudahan yang ada serta bakal jiran-jiran saya.
“Kampung itu berdekatan dengan beberapa lebuh raya utama. Ini bakal memudahkan perjalanan balik ke Johor dan ke tempat kerja. Ada juga jeti tempat orang memancing di situ. Saya memang suka aktiviti luar jadi itu turut mempengaruhi keputusan saya,” kata Azree, yang juga gemar ‘paragliding’, berkhemah dan berbasikal.
Jiran-jirannya agak hairan apabila mengetahui hasratnya membina rumah di situ.
“Mereka tertanya kemampuan kewangan saya. Hendak buat rumah atas tanah gambut kena pakai “piling” kayu bakau yang mahal, dalam RM18 sebatang,” katanya.
Geran tanah yang dibelinya dikongsi dengan beberapa pemilik lain. Ini menjadikan beliau tidak layak untuk memohon pinjaman perumahan.
Tiada masalah baginya. Azree mengambil pinjaman peribadi berjumlah RM75,000 untuk dibayar balik dalam tempoh lima tahun.
Tanah sudah ada. Kini, kena bina rumah pula. Setelah dikaji, rumah paling mudah dibina atas tanah pertanian ialah rumah kontena.
Membina Rumah
Sehari setelah pinjaman diluluskan, Azree terus ke kilang menjual kontena terpakai dan membeli unit bersaiz 20 kaki. Beliau memesan agar dipotong masuk tingkap, pintu dan kipas pengudaraan. Beliau juga meminta agar unit itu dicat dengan cat tahan karat dan dipasang lantai vinyl.
Minggu berikutnya amat sibuk bagi Azree. Beliau yang berpengalaman membantu keluarganya membina rumah sendiri sedar betapa sukarnya kerja itu. Semak-samun perlu dibersihkan, tanah kena diratakan dan lubang perlu dikorek untuk tangki septik dan longkang. Jalan masuk ke rumahnya juga perlu dituang konkrit untuk memudahkan lori membawa masuk bahan binaan.
Abangnya diupah sebagai kontraktor utama untuk menangani segala kerja pendawaian, pemasangan paip dan hal-hal pembinaan lain.
Sebanyak 15 lori simen terpakai ditempah untuk diratakan sebagai alas konkrit satu kaki bagi rumah kontenanya bagi menangani isu pemendapan tanah.
Sementara menunggu simen kering, Azree berulang-alik ke Banting untuk memastikan kerja-kerja pengimpalan dan mengecat dapat diselesaikan dengan segera.
Beliau sangat tertekan ketika itu. Hari berjalan, upah juga berjalan. Sudah September 2014, dan akhir bulan itu bakal tamat kontrak sewaan rumahnya.
Beliau perlu pindah keluar namun rumah kontenanya masih belum siap.
“Beban kewangan sudah bertambah. Semua itu kos yang saya tak mampu nak hadap lama-lama,” katanya.
Pada 31 Oktober barulah rumah kontenanya dibawa ke lokasi. Cat belum kering, tandas belum siap dan bekalan air dan elektrik belum masuk, tetapi akhirnya Azree memiliki kediaman sendiri.
“Saya bernasib baik mendapat jiran yang sangat baik dan sentiasa membantu.
Mereka membenarkan saya “tarik” masuk air dan elektrik sementara menunggu bekalan masuk,” kata Azree.
Tidak lama kemudian beliau membina tingkat atas rumah menggunakan papan “fascia”.
Menjawab Segala Keraguan Rumah Kontena
Kini Azree yakin segala payah jerih yang dilaluinya berbaloi. Beliau sudah ada rumah dan tanah sendiri yang bakal habis dibiayai dalam empat tahun lagi.
Setelah setahun tinggal di rumah kontena, beliau mampu menjawab soalan paling banyak ditanya mengenai pilihannya itu.
Panaskah, duduk dalam rumah keluli?
Memang benar keluli mudah panas, jawabnya, namun penyelesaiannya mudah saja.
“Pasang tingkap dan kipas pengudaraan. Bina bumbung, jangan dedah terus rumah kepada matahari. Rumah kontena ini cepat sejuk bila sudah malam. Ia tidak menyimpan haba berjam-jam lamanya seperti rumah batu,” katanya.
Rumah kontena juga boleh dipasang penebat haba seperti panel kayu atau Styrofoam. Bagaimanapun, kata Azree, polisterin lebih mudah terbakar dan kurang sesuai bagi pemilik rumah yang merokok.
Rumah kontena boleh tahan lamakah? “Pernah tengok “campervan” Volkswagen lama? Ia diperbuat daripada keluli dan masih elok walaupun sudah lebih 90 tahun.
Asalkan dijaga dengan baik, rumah kontena juga boleh tahan, mungkin sehingga 200 tahun. Kalau guna cat yang elok, tidak perlu dicat semula sehingga 20 tahun,” katanya.
Bagaimana keselamatan rumah keluli ketika ribut petir?
“Saya telah memasang penangkap kilat dan pembumi. Kalau disambar kilat pun penghuni akan selamat kerana ianya akan terus dibumikan,” jelasnya.
Kalau ingin berkeluarga?
“Rumah saya ada ruang untuk keluarga beranak dua pun. Saya sendiri jarang naik tingkat atas kerana apa yang diperlukan semuanya di tingkat bawah. Pernah sekali 16 ahli keluarga saya datang menginap, tiada masalah pun,” katanya yang masih bujang.
Bolehkah rumah kontena ditambah baik?
“Tiada masalah. Boleh tambah unit baru di sebelah atau di atas. Di New Zealand, pusat membeli-belah pun dibina menggunakan kontena terpakai. Saya sendiri terfikir untuk menambah satu lagi unit.”
Bahagian kedua memaparkan kecekalan Muhammad Azree Abdul Rahim yang mengambil risiko besar memilih untuk memiliki kediaman yang kurang konvensional, walaupun beliau kurang berkemampuan.
Pada usia 26 tahun, Muhammad Azree Abdul Rahim berjaya memiliki kehidupan yang didambakan kebanyakan mereka yang baru bekerja atau berumahtangga.
Beliau telah berjaya membeli dan membina rumah dua tingkat atas tanah sendiri pada harga kurang RM100,000.
Paling menarik, rumah yang dimilikinya diperbuat daripada unit kontena terpakai.
Beliau berpendapatan RM3,500 dan tiada simpanan ketika mula membina rumah itu.
Jadi bagaimana impiannya itu tercapai?
Bermulanya Satu Impian
Segalanya bermula dua tahun lepas, ketika beliau memikirkan untuk membeli rumah karavan untuk didiami. Anak Felda dari Kluang, Johor itu berpendapat bahawa seseorang itu tidak sepatutnya terikat dengan komitmen pemilikan rumah. “Rumah tidak seharusnya menjadi sesuatu yang sentiasa perlu dijaga dan dibiayai sehingga pencen.
“Di kebanyakan tempat di luar negara, rumah kebiasaannya mudah untuk dirobohkan atau ditambahbaik. Kenapa? Pertamanya, mereka kurang komitmen perumahan. Kedua, mereka menggunakan bahan binaan yang boleh dibuka dan digunasemula, seperti kayu, walau untuk membina rumah agam pun,” kata pemuda itu yang lebih selesa dipanggil Azree.
Bagaimanapun, setelah menelaah pelbagai maklumat mengenai rumah karavan serta membuat lakaran, beliau sedar impiannya itu sukar dicapai.
“Agak sukar pihak berkuasa untuk meluluskan permohonan saya kerana tiada peruntukan lengkap atau panduan rasmi dalam memiliki rumah karavan. Ia juga bakal mengalami susut nilai dan saya pula tiada lesen memandu kenderaan sebegitu,” katanya.
Setelah cita-citanya itu dipendamkan, Azree berhasrat membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi pula.
Pinjaman yang dibuatnya telah pun diluluskan. Namun, sebelum sempat perjanjian ditandatangani, beliau terfikir tindakan itu bukanlah langkah yang bijak.
“Saya ingat dapat kurangkan kos minyak. Tetapi, bila ansuran motor ditambah kepada sewa rumah dan ansuran kereta sedia ada, nyata tidak sejimat mana pun.
“Sepatutnya saya fokus kepada keperluan, seperti memiliki rumah,” kata pembangun ‘web’ dan sistem itu kepada Bernama.
Terus pinjaman itu dibatalkannya.
Ketika memikirkan cara terbaik untuk menggunakan jumlah yang layak dipinjamnya, Azree mula terfikir tentang rumah kontena.
Setelah mengkaji pilihan itu secara mendalam, beliau mengambil pinjaman peribadi berjumlah RM75,000 untuk dibayar balik dalam lima tahun.
Wang itu digunakannya untuk membeli sebidang tanah pegangan kekal di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, satu unit kontena terpakai serta bahan binaan dan keperluan rumah.
Cekal
Sifat suka berfikir di luar kotak itu telah lama diamalkan Azree. Ketika menuntut jurusan IT di Infrastructure University KL (IUKL), beliau terpaksa menyara diri dan membayar yuran pengajian dengan bekerja sambil belajar.
IUKL menawarkan diskaun yuran pengajian 60 peratus kepada pelajar yang mendapat gred purata terkumpul 3.65 ke atas.
Sambil menyelam, minum air. Sepanjang tiga tahun di universiti, Azree menyara diri dengan menyediakan khidmat IT. Di samping meningkatkan kepakarannya dalam bidang itu, ia juga membantu dalam pengajiannya sehingga beliau mendapat gred cemerlang.
“Selain membantu mendapatkan diskaun yuran pengajian dan membayar sewa rumah dan keperluan, saya juga telah menghasilkan portfolio menarik untuk bakal majikan saya.
“Portfolio itulah yang membantu saya mendapatkan kerja di sebuah syarikat antarabangsa sejurus menamatkan pengajian, dengan gaji RM2,500.
Ketika Azree mula membina rumahnya, beliau telah pun berpangkat jurutera perisian dengan gaji RM3,500.
“Ini jarang dikecapi seorang pemegang diploma, tetapi itulah kelebihan pengalaman dan portfolio yang baik,” katanya.
Gaji itu membolehkannya mendapat pinjaman peribadi untuk membeli tanah dan rumah.
Selain itu, Azree juga mencari rezeki dengan mengambil upah membangunkan laman sesawang selain menanam stevia untuk dijual.
“Pada mulanya saya tidak bercadang pun untuk menjual stevia sebagai pendapatan sampingan. Saya mengimport tumbuhan itu untuk membantu ibu saya yang menghidap diabetes. Kini tumbuhan itu tumbuh subur dan bercambah. Dengan adanya permintaan, saya pun mula menjual,” ceritanya.
Rumah Sendiri
Azree mengamalkan konsep pembinaan lestari dalam membangunkan rumah kontenanya dengan mengelakkan pembaziran dan menggunakan semula apa yang boleh.
Rumahnya dibina menggunakan lebihan bahan daripada projek pembinaan seperti kepingan zink, wayar, simen, kayu dan tandas terpakai.
Rumahnya juga dilengkapi dengan perabot pelbagai kegunaan. Kerusi sofa, misalnya, telah digantikan dengan kerusi kereta terpakai. Meja makan juga digunakan sebagai meja “study” dan boleh dilipat ke tepi.
Azree, yang masih belum berpunya, juga membuat roti dan menjahit langsir rumahnya sendiri serta memasak menggunakan sayur-sayuran dan herba yang ditanamnya sendiri di kebun di luar rumahnya.
“Buat apa berbelanja lebih kalau boleh buat sendiri,” katanya yang turut gemar berkhemah, “paragliding” dan berbasikal.
Beliau mengakui pilihan kediaman ini mungkin kurang sesuai dengan semua orang, namun yakin telah membuat pilihan terbaik.
“Pada saya, hidup ini sudah cukup mewah. Saya memiliki segala yang diperlukan tanpa terikat dengan pinjaman rumah 30 tahun. Itu sudah cukup baik bagi saya.”
Rumah kontena pilihan yang baik bagi negara yang sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi atau banjir.
Kata Azree, di kebanyakan negara sedemikian, batu bata dan konkrit bukan lagi bahan pilihan untuk pembinaan. Di samping menyimpan haba, ia juga mahal dan sukar dibina semula apabila dirosakkan. Kayu atau keluli menjadi pilihan
Tauladan Dari New Zealand
“Di New Zealand, selepas gempa bumi di Christchurch yang telah mengorbankan ramai nyawa, konkrit bukan lagi pilihan untuk kegunaan pembinaan. Ia berat dan mampu menghancurkan. Kayu juga bahaya kerana risiko kebakaran. Maka mereka memilih untuk menggunakan kontena terpakai dalam membuat rumah dan juga pusat membeli-belah,” jelasnya.
Katanya dengan kontena terpakai, kebergantungan ke atas tenaga buruh ketika pembinaan semula turut akan berkurangan sekiranya ditimpa gempa bumi lagi.
“Kalau ianya terbalik atau kemek pun, kita dapat mengangkat dan mengetuknya balik ke bentuk asal. Kos pembinaan semula akan kurang banyak dan kematian akibat ditimpa bangunan juga berkurangan,” katanya.
Rumah kontena yang terjejas akibat banjir juga lebih mudah dicuci.
“Kalau ada kulat pun, kita boleh lap atau beruskan kawasan itu terus. Rumah kontena boleh “dibasuh”. Tetapi kalau rumah batu diberus, kita mungkin akan merosakkan cat. Kalau nak cat semula mungkin agak mahal.” - Bernama
## Di bawah beberapa gambar rumah kontena yang dengan konsep yang menarik serta praktikal untuk digunakan di luar negara.
via
http://www.sinarharian.com.my/rencana/penat-menyewa-azree-nekad-bina-rumah-kontena-1.449772
Letih Bayar Sewa, Azree Buat Rumah Kontena
VideoViralMalaysia0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →