Wak Mustar, merupakan juara program realiti Kilauan Emas musim kelima (KE-5) pada 2015. Selain itu dia turut menjadi juara program Juara Kilauan Emas Otai 2016.
Peserta dari Selangor yang diminati ramai kerana keperibadiannya yang sempoi ini, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM260,000 untuk kedua-dua kemenangan itu.
Memandangkan wang yang diterima cukup lumayan, ramai yang mengandaikan kehidupan bapa kepada lima orang anak ini sudah jauh selesa berbanding sebelumnya dengan pendapatan yang kecil sebagai tukang kayu.
Bagi merungkai segala persoalan, Pancaindera mencari Wak Mustar selama dua minggu ini. Mujurlah, kami akhirnya dijemput ke kediamannya yang terletak di Si Jangkang, Selangor untuk melihat sendiri keadaan dirinya. Ditanya tentang berita bahawa dia sudah muflis ibarat 'tinggal sehelai sepinggang', dia dengan tenang menjawab satu persatu persoalan yang diajukan.
“Sejujurnya, genap sahaja setahun semua duit tersebut licin termasuklah simpanan anak-anak. Ketika mendapat wang RM100,000 hasil kemenangan pertama, dalam otak saya dah pun merancang untuk buat macam-macam termasuklah simpanan RM10,000 untuk setiap seorang anak.
"Duit itu saya gunakan untuk bayar hutang pada keluarga dan juga kawan-kawan lebih kurang dalam RM10,000, betulkan atap rumah dan beli perabot RM5,000, beli tanah di belakang rumah ini daripada anak buah dengan harga RM35,000. Sempat jugalah saya bersedekah kepada golongan yang tidak berkemampuan. Selepas itu, semuanya habis apabila ramai yang datang pada saya untuk meminjam,” demikian ungkapnya, satu persatu.
Banyak Yang Pinjam Tapi Tak Bayar
Sejurus diangkat sebagai juara, ramai yang datang kepadanya untuk meminjam wang. Paling memeranjatkan ada juga yang datang dari jauh semata-mata untuk meraih simpatinya agar dapat dibantu. Pujuk rayu dengan pelbagai kisah sedih sedikit sebanyak turut mencairkan hatinya lalu menghulurkan bantuan.
“Masa mula menang tu ada yang datang jauh dari Pantai Timur, mengakui telah mengundi saya dan meminta agar saya memberinya sedikit wang di atas usaha murninya menyumbang undi. Dua kali dia sanggup datang dan berjumpa saya di rumah saya di Selangor ni. Jika saya katakan masih belum menerima wang, mereka tidak mempercayainya. Akhirnya saya memberinya RM500 dan dia pun pulang.
“Selang beberapa hari kemudian, beberapa orang lain pula yang datang. Mereka hadir dengan pelbagai alasan antaranya hidup susah, dikejar ceti, ditinggalkan pasangan dan sebagainya. Begitulah seterusnya sehingga ke hari ini sampai saya sendiri sudah tak ada duit.
“Mereka terdiri daripada orang yang saya kenal dan ramai juga yang tidak saya kenali. Semuanya datang meminta tolong. Kadang-kadang saya tak mampu nak tolak sebab kasihan. Saya tahu membantu mereka yang dalam kesusahan sangatlah dituntut tetapi kadang yang datang seperti mahu mengambil kesempatan semata-mata. Apabila duit habis, saya ada juga pergi menuntut hutang tetapi kebanyakannya hampa,” ujarnya.
Dihitung dikira, hampir RM40,000 duit Wak Mustar berada dalam tangan si peminjam. Apa yang dikesalkan sehingga ke hari ini apabila dia terpaksa mengeluarkan semula wang simpanan yang dikhaskan untuk anak-anaknya yang masih kecil. Hasil pernikahan dengan isteri tercinta Sasrul Azlinda, 35, Wak Mustar dikurniakan seorang anak perempuan dan empat orang anak lelaki yang berusia 13 tahun, 12 tahun, 8 tahun, 6 tahun serta 4 tahun.
Allah Beri Peluang Kedua
Kesilapan pertama Wak Mustar bagaimanapun berjaya ditangani apabila dia sekali lagi memenangi tempat pertama program Juara Kilauan Emas Otai pada April 2016 dan menerima RM 150, 000 untuk kemenangan kedua itu. Kali ini, dia lebih bijak menggunakan wang kemenangan secara berhemah.
“Sama seperti sebelum ini, ramai juga yang datang untuk meminjam duit. Tetapi kali ini, saya akan lebih berhati-hati dan memikirkan diri sendiri dan anak-anak terlebih dahulu sebelum bertindak. Lebih-lebih lagi saya pun tidak bekerja sekarang, jadi itulah sahaja duit yang ada,” ujarnya.
Mengakui cubaan menyertai pertandingan nyanyian telah merubah kehidupannya daripada susah ke fasa sederhana, Wak Mustar percaya usaha dan tawakal adalah senjata utama untuk berjaya.
Merancang untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan, dia berhasrat untuk membina chalet di atas tanah yang dibeli daripada anak buahnya. Mengakui teruja dengan rancangan tersebut, dia bakal mengupah mereka yang berpengalaman untuk merealisasikan impiannya itu.
“Memandangkan tanah itu tidaklah sebesar mana, jadi saya ingin membina tiga hingga ke empat buah chalet dengan senibina yang menarik di situ. Mungkin pembinaan itu akan bermula pada tahun ini. Saya yakin ia mampu menggamit perhatian ramai memandangkan kawasan Sijangkang ini semakin membangun. Jika sambutan yang diterima menggalakkan mungkin ia akan dibesarkan lagi,” ujarnya.
Selain sibuk dengan perancangan chalet, dia juga muncul dengan album terbaru yang berjudul MUSTAR Jumpa Mesra dan bakal terbit dengan album Pop Yeh-Yeh yang mana album yang akan dikeluarkan nanti bakal disuntik konsep nasyid. Selain itu, dia juga tidak henti-henti menerima undangan nyanyian dari seluruh negara.
“Rumah Kita Buruklah Ayah”
Hati ayah mana yang tidak tercuit jika si anak yang masih kecil mengatakan rumah mereka buruk. Tentunya ia sedikit sebanyak menjentik hati serta membuka mata seorang lelaki yang bertanggungjawab untuk berusaha lebih gigih. Dia mahu menjadikan rumahnya selesa kerana bimbang anaknya malu dengan rakan-rakan lain jika sudah dewasa kelak.
“Dulu bukan sahaja rumah buruk, malah dengan kereta buruk Nissan Sunny yang ada itulah yang saya gunakan untuk bergerak ke mana-mana serta berulang alik ke kampung isteri di Perak.
Biarpun pernah rosak beberapa kali tapi itulah yang kami ada. Bukan tidak mahu meminjam kereta orang untuk pulang ke kampung, tapi kalau selalu meminjam sudah tentu lambat laun orang akan bosan juga.
“Alhamdulillah bila ada sedikit rezeki ini saya betulkan rumah. Saya juga membeli kereta baru, (Toyota Wish) agar isteri dan anak-anak lebih selesa jika kami pulang ke kampung.
"Bukan itu sahaja, saya juga ada membelikan isteri sebuah kereta Proton Waja untuk memudahkan dia menghantar serta menjemput anak kami pulang dari sekolah,” ungkapnya yang turut dikenali dengan nama Brantas oleh penduduk kampung.
sumber artikel
http://www.utusan.com.my/hiburan/rm40-000-di-tangan-peminjam-1.434603