Imej Rosak, Hospital Mahu Saman Jururawat & PPIM

Imej Rosak, Hospital Mahu Saman Jururawat & PPIM: Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd akan mengambil tindakan saman terhadap seorang bekas jururawatnya, Naziah Sauni Samat dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam tempoh terdekat.

Imej Rosak, Hospital Mahu Saman Jururawat & PPIM

Tindakan saman itu, susulan kenyataan media yang dikeluarkan Naziah di Pejabat PPIM kelmarin.

Naziah dalam kenyataannya, beliau diberhentikan oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta kerana memakai baju lengan panjang dan tudung. Perbuatan itu dianggap kesalahan besar.

Susulan tindakan Naziah, Pengurus Kewangan dan Sumber Manusia Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd, Regina Sundram berkata, pihaknya akan mengambil tindakan kerana perbuatan Naziah telah merosakkan imej hospital dan kakitangan mereka.

“Sejak semalam (kelmarin), pihak hospital tidak berhenti menerima panggilan telefon bertanyakan hal berkenaan sehingga ada pihak yang mahu memboikot serta mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.

“Bahkan laman sosial Facebook hospital turut dihujani pelbagai dakwaan dan kata-kata yang tidak baik sehingga memaksa kami menapis setiap komen pengguna sebelum disiarkan,” katanya.

Menurut Regina, orang luar hanya membuat tuduhan berdasarkan kenyataan sebelah pihak tanpa merujuk dan mendapatkan penjelasan sebenar dari pihak hospital.

“Kami akan berbincang dan mendapatkan menasihatkan peguam Isnin ini, sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita juga sedang mengumpul segala dokumen termasuk laporan akhbar dan komen pengguna laman sosial yang menjurus kepada merosakkan dan menjatuhkan imej hospital dan kakitangan kami,” katanya.

Jelasnya, hospital berkenaan sudah beroperasi sejak 1989 dan kini mempunyai seramai 120 kakitangan, 41 daripadanya beragama Islam.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan Naziah diberhentikan tugas kerana faktor pakaian, Regina menafikannya.

“Pihak hospital tidak pernah mengeluarkan sebarang surat rasmi berkaitan pemecatannya. Sebaliknya beliau diberi surat yang mana kami memberi tempoh untuknya mematuhi peraturan hospital.

“Naziah bagaimanapun tidak hadir bertugas selama lima hari sejak 25 November tanpa sebarang penjelasan dan kami dianggap beliau berhenti secara sukarela,” katanya.

Jururawat Dipecat Kerana Disiplin, Bukan Pakaian - Pihak Hospital

Regina berkata, pihak hospital turut memberi ruang kepada Naziah untuk berfikir sama ada  meneruskan kerja di situ atau berhenti sendiri.

"Naziah bagaimanapun hadir bertugas pada 30 November dengan memakai stoking lengan. Ia masih melanggari peraturan pemakaian hospital.

“Teguran dibuat, tetapi Naziah tidak mematuhinya sehingga tamat waktu bertugas. Kalau benar kami berhentikan Naziah, gajinya masih dibayar mengikut jadual,” katanya.

Mengenai larangan memakai baju lengan panjang dan tudung, Regina akui peraturan hospital tidak membenarkan jururawat mengenakan pakaian seragam berlengan panjang.

“Peraturan ini telah diguna pakai sejak hospital beroperasi. Jururawat tidak dibenarkan memakai lengan panjang kerana dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan kuman ketika mengurus pesakit.

“Ia juga atas faktor keselamatan dan demi memudahkan tugas jururawat. Jadi tidak perlulah jururawat  menyingsing lengan baju sehingga mengganggu tugas yang memerlukan tindakan segera dan pantas,” katanya.

Berkenaan, Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) milik Naziah yang digantung, pihak hospital tiada kuasa berbuat demikian, sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun kami memutuskan untuk tidak  memperbaharui sijil berkenaan, atas faktor keselamatan pesakit,” katanya.

Bagi Regina, Naziah seharusnya bersemuka dan berbincang dengan pengurusan hospital dan bukannya hanya berhubung melalui aplikasi WhatApps atau membuat aduan kepada PPIM.

“Tindakan Naziah hanya membunuh profesion jururawat itu sendiri. Beliau hanya memburukkan keadaan. Ini bukan isu perkauman atau agama. Kami hormati setiap kaum dan agama mereka,” katanya.

via

0 comment... add one now