Pada satu hari dalam tahun 1955, semua Penggawa (Penghulu di Kelantan) dan Tok Penghulu (Ketua Kampong di Kelantan) telah dipanggil bermesyuarat di Macang Kelantan bagi mencari jalan bagaimana atau siapa yang akan membawa satu perutusan (surat) bagi mempelawa Chin Peng keluar dari hutan dan membuat perjumpaan (mesyuarat) dengan Tunku Abdul Rahman agar Malaya bertukar aman yang menjadi prasyarat British memberi kemerdekaan kepada Malaya (Tanah Melayu).
Surat tersebut adalah merupakan surat/utusan sebagai jaminan keselamatan dari seorang Ketua Menteri Tanah Melayu (PM sekarang). Sebenarnya pada masa itu ayahku tidak tahu kandungan sebenar isi surat tersebut. Yang dia tahu surat itu dari Tunku Abd Rahman kepada Chin Peng mempelawa untuk mencari jalan keamanan. Itu sahaja yang dia tahu. Ayahku tak pandai menulis/membaca rumi. Dia hanya pandai menulis dan membaca huruf jawi. Yang peliknya kesemua huruf rumi dari A hingga Z dia tahu dan hafal.
Bukan senang untuk menyakinkan seorang ketua pengganas komunis agar keluar dan berjumpa dengan pihak kerajaan. Lebih-lebih lagi ianya merupakan risiko hidup dan mati dirinya. Alat perhubungan bukannya canggih seperti sekarang. Kalau nak menggunakan utusan manusia pula siapa yang sanggup. Kalau tersilap congak, masuk ke kawasan komunis itu maknanya menempah maut.
Setelah seruan seorang sukarelawan di perlukan, ayahku segera menyahut cabaran tersebut. Bukan untuk menunjuk berani atau membangga diri. Bagi dirinya, kehidupan di kawasan mukimnya bagaikan hidup dalam neraka.
Setiap hari rakyat hidup dalam ketakutan yang tiada penyudahnya. Sudah bertahun lamanya sejak dari zaman Jepun hingga ke tarikh tersebut tidak pernah seharipun merasa nikmat keamanan. Dengan harapan bila Chin Peng dapat berjumpa dengan Tunku dan keamanan akan wujud maka itulah ayahku menawarkan dirinya untuk menjalankan misi tersebut.
Dalam misinya memasuki kawasan pengganas komunis untuk menyampaikan surat amanat dari Tunku Abd rahman, nyawa ayahku hampir melayang. Ayahku di ancam akan di bunuh sekiranya mendapat arahan dari Chin Peng. Bebelas jam ayahku dikurung dalam satu kandang dengan senjata sentiasa menghala ke kepala ayahku. Di biarkan tanpa makan minum dan kesejukan malam hari hinggalah ke tengah malam bila seorang yang bertopeng diseluruh kepala (melainkan dua biji matanya dan mulutnya sahaja yang boleh di lihat) tiba entah dari mana, mengesahkan akan utusan ayahku dan seterusnya membebaskan ayahku pulang sendiri.
Ancamana bukan sahaja datang dari komunis yang kurang yakin dan menganggap ayahku pengintip malah ancaman bunuh juga datang dari seorang tali barut komunis bertalam dua muka yang bernama ‘Johnny’. Disebelah kerajaan Tanah Melayu, ayahku kenal ‘Johnny’ merupakan seorang agen kerajaan yang menyampaikan maklumat pergerakan komunis. Tetapi bila ayahku sampai di kawasan Weng di Selatan Thai, tembelangnya telah pecah kepada ayahku bahawa ‘Johnny’ juga menyampaikan pergerakan tentera kerajaan Tanah Melayu kepada pengganas komunis.
Jadi Johnny berhasrat membunuh ayahku sebelum tembelangnya pecah kepada kedua-dua pihak. Percubaan Johnny untuk membunuh ayahku sebelum ayahku sampai ke kem komunis tak berjaya kerana ayahku telah sampai ke kem komunis terlebih dahulu dari Johnny. Jadi Johnny membuat perancangan membunh ayahku semasa dalam perjalanan balik (ambush). Tetapi Johhny gagal juga kerana ayahku membuat tektik menggunakan jalan yang lain walaupun masih perlu melepasi check point komunis yang juga telah diatur oleh Johnny. Puncanya pengawal komunis tak mengenali ayahku yang menyangka ayahku adalah orang kampung tempatan.
Percubaan terakhir Johnny untuk membunuh ayahku adalah membawa pengganas komunis mengepong rumah tumpangan sementara ayahku di kawasan Weng sebelum kembali ke Tanah Melayu. Tetapi nasib menyebelahi ayahku lagi bila tuan punya rumah tumpangan tersebut ada hubungan saudara pangkat sepupu dengan ayahku. Saudara ayahku tersebut yang juga merupakan seorang pemimpin tempatan telah memberi amaran kepada gerombolan pengganas komunis tersebut bahawa hubungan baik antara orang kampung di Weng (selatan Thai) dengan komunis akan berakhir sekiranya ayahku di bunuh disana. Dia yang ada pertalian saudara dengan ayahku akan berperang menentang komunis. Jadi pihak komunis tidak mahu mengambil risiko bermusuhan dengan penduduk tempatan lalu beredar. Saudara ayahku membantu ayahku hingga ke Sungai Golok.
Kesengsaraan ayahku tamat setelah pihak polis Tanah Melayu menangkap ayahku kerana memasuki negara Tanah Melayu dengan cara menyeludup. Itulah harapan ayahku kerana bila sudah di tahan oleh polis Tanah Melayu, bermakna dia sudah selamat dalam tangan pasukan keselamatan hinggalah OCPD pada masa itu berjumpa dan mengenali ayahku semasa bermesyuarat di Macang tempoh hari.
Itulah sedikit sebanyak kisah perjuangan ayahku demi untuk kemerdekaan Tanah Melayu dan kini Malaysia. Dia tidak mendapat apa-apa imbuhan. Malah sebarang pingat peringatan pun tiada. Kami sekeluarga dulu hidup susah seperti orang lain juga. Namun dalam kesempitan hidup, ayahku tak lupa tentang pelajaran anak-anaknya. Walaupun tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi tetapi sekurang-kurangnya aku telah dibekalkan dengan ilmu yang merubah sedikit kehidupan daripada sesusah-susahnya hinggalah ke sedikit kesenangan walaupun bukan kaya.
Ayahku..sesungguhnya sentiasa di hatiku....
Riwayat perjuangan Mohd Taib bukan untuk bermegah-megah. Di ketengahkan sebagai tatapan anak cucu cicit Mohd Taib yang kini bertebaran di serata pelusuk Malaysia. Dah jadi beratus orang kesemuanya. Dan juga untuk tatapan generasi baru bagaimana susahnya rakyat kalau terjadi huru hara.Rundingan antara Chin Peng dengan Tunku Abd Rahman telah di adakan di Baling pada tahun 1955 tidak lama selepas Mohd Taib berjaya sampaikan surat jemputan dan jaminan keselamatan kepada ketua pengganas yang dipercayi oleh Mohd Taib adalah Chin Peng. Namun yang pentingnya Chin Peng, Rashid Maidin dan Chin Tean telah keluar dan berunding. Kerajaan tidak mengapa-apakan mereka seperti jaminan yang diberikan.Tetapi rundingan tersebut telah gagal. Salah satu dari sebabnya adalah kerana Tunku tidak bersetuju Parti Komunis Malaya di halalkan di Tanah Melayu.
Komunis amat bertentangan dengan ajaran Islam. Kegagalan itu juga ada hikmahnya kerana ianya menjadi alasan kerajaan untuk meneruskan serangan memerangi pengganas komunis. Komunis memang tidak berniat untuk keamanan tetapi semata-mata atas perjuangan parti komunis sahaja. Namun demkian kita tetap merdeka pada 31 Ogos 1957 walaupun darurat hanya tamat pada tahun 1960.
Kegagalan perjumpaan di Baling hanya menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan kerana rakyat semua kaum di Malaysia tidak suka huruhara yang dilakukan oleh komunis.
Simbolik penyerahan diri komunis telah diadakan di PULAPOL KL. Kalau tak silap pada tahun 1960. Saki baki pengganas digempur habi-habisan hingga pergerakan pengganas komunis bersetuju meletakkan perjuangan bersenjata mereka pada tahun 1989.
Posted by zahari1950
http://warisanlembahbelum.blogspot.my/2011/05/kisah-mohd-taib-jadi-utusan-ke-khemah.html