Dibelasah Senior Hingga Parah

Dibelasah Senior Hingga Parah: Hanya kerana dituduh mencuri telefon bimbit, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah agama swasta di Pokok Sena cedera parah dipercayai selepas dipukul lima seniornya.

Dibelasah Senior Hingga Parah

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa Mohd. Irfan Azizan, 13, dikatakan telah ditumbuk dan ditendang sehingga mengalami pendarahan pada usus serta buah pinggang oleh pelajar senior yang berusia antara 14 hingga 17 tahun di luar bilik asrama sekolah berkenaan.

Difahamkan, mangsa dituduh mencuri telefon bimbit salah seorang suspek kerana merupakan antara orang yang terawal memasuki asrama sekolah berkenaan.

Bapa kepada mangsa, Azizan A. Aziz, 40, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu apabila salah seorang daripada suspek yang memukul Mohd. Irfan telah menghubunginya pada pukul 6 pagi semalam.

“Pelajar yang telah menumbuk anak saya telefon kerana dia ingin meminta ganti rugi bernilai RM400 daripada saya kerana mendakwa anak saya telah mencuri telefon bimbitnya.

“Saya terus menghubungi pihak sekolah lalu pergi ke sana dan Mohd. Irfan terus menceritakan kejadian berkenaan. Saya terus membawanya ke hospital serta membuat laporan kepada pihak polis,” dakwanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menurut Azizan, Mohd. Irfan yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu mendakwa dia telah ditarik keluar dari asrama berkenaan dan dipukul serta ditendang bertubi-tubi oleh pelajar se­nior itu di luar bilik asrama.

“Anak saya beritahu dia dipukul serta ditendang selama 10 minit dan kejadian ini disaksikan ramai penghuni asrama berkenaan namun tidak ada sesiapa berani menolongnya,” dakwanya.

Tambah Azizan, anaknya terpaksa menjalani satu pembedahan di HSB akibat kecederaan yang dialaminya itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, bapa kepada mangsa telah membuat satu laporan polis mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu dan pihak polis telah merakamkan percakapan mangsa.

“Kelima-lima suspek dikenali oleh mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan siasatan kes masih berjalan,” katanya.

via
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dituduh-curi-telefon-bimbit-pelajar-13-tahun-parah-dipukul-1.160664#

0 comment... add one now