Obama Mahu Nasi Tomato & Dada Ayam Ketika Sidang Asean-AS Ke 3

Obama Mahu Nasi Tomato & Dada Ayam Ketika Sidang Asean-AS Ke 3: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memilih untuk menikmati hidangan mudah semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur yang antara lain berupa dada ayam yang dimasak dengan herba dan nasi tomato.

Obama Mahu Nasi Tomato & Dada Ayam Ketika Sidang Asean-AS Ke 3

Perkara ini diberitahu Cef Eksekutif Pusat Konvensen Kuala Lumpur (KLCC), Richmond Lim yang berkata makanan tersebut adalah tiga hidangan mudah yang perlu disediakan pihaknya kepada Obama.

"Kami juga diminta untuk menyediakan ikan salmon pedas manis yang dihidang dengan nasi beras basmathi dan zucchini serta ikan kakap yang dimasak dengan herba tempatan dan nasi tomato," katanya.

Obama dijangka berada di Malaysia selepas menghadiri mesyuarat APEC di Manila dan dijadual mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-3 selain Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10.

Dengan pengalaman 32 tahun dalam bidang kulinari, Lim akan memantau kumnpulan 30 orang cef dan 6O staf lain yang diberi tanggungjawab menyediakan lebih daripada 100 hidangan pada perhimpuan di Kuala Lumpur ini.

Mengenai hidangan makan malam gala kepada ketua-ketua negara dan kerajaan yang dijadual Sabtu ini, Lim berkata ia akan menggambarkan citarasa tempatan berasaskan antara lain kulit kayu manis, serai dan halia sebagai bahannya.

"Malaysia berupa syurga makanan. Pada asasnya kami akan menggunakan bahan tempatan yang terbaik dan segar yang akan menonjolkan identiti kulinari Malaysia.

"Sebagai contoh sate daging wagyu kami yang diperap khusus menggunakan bahan-bahan ini untuk menghasilkan rasa terbaik," kata Lim.

Beliau yang juga terlibat dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang dihos Kuala Lumpur pada 10 tahun lalu berkata beliau tidak akan mengambil mudah tugas mencabar yang diletak di bahunya kali ini.

Katanya beberapa petugas di bawah seliaannya dihantar mengikuti kursus khas agar mereka mampu memenuhi permintaan para pemimpin negara dan kerajaan ASEAN serta anggota perwakilan yang menghadiri sidang kemuncak itu.

"Kami ada pasukan yang fleksibel serta kemudahan dapur berteknologi tinggi untuk menyediakan semua hidangan itu. Walaupun kami berasa agak tertekan, tapi kami pasti ingin menyajikan hidangan terbaik dan tidak sabar menunggu kedatangan acara ini," kata Lim.

Sementara itu, Pengurus Besar KLCC Alan Pryor berkata setelah berbulan-bulan membuat persiapan, beliau dan pasukannya kini sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah acara terbesar negara itu.

Katanya dengan menggunakan keseluruhan ruang seluas 22,659 meter persegi, cabaran besar yang dihadapi pihaknya ialah untuk memenuhi permintaan yang beraneka jenis, termasuk perubahan yang dibuat pada saat-saat akhir.

Beliau berkata mereka juga bekerja rapat dengan rakan berkaitan untuk memastikan acara itu berjalan lancar.

- Bernama

0 comment... add one now