Malaysia Vs Korea Utara: Dari Kaca Mata Seorang Penulis

Malaysia Vs Korea Utara:
Dari Kaca Mata Seorang Penulis

Oleh: Ibnu Ismail
(lama dah tak guna nama pena ni...)

Korea Utara, negara yang pelik sikit. Presiden pertamanya Kim Il-sung (1912-1994) tidak pernah dilucutkan jawatan sebagai 'presiden' walaupun dia dah lama mati. Korea Utara menganggap Il-sung Presiden sepanjang zaman.

Malaysia Vs Korea Utara:  Dari Kaca Mata Seorang Penulis
Imej- FMT


Anaknya Kim Jong-il (1941-2011) yang menggantikannya tidak ditabal sebagai Presiden. Dia hanya mendapat jolokan 'Pemimpin Tertinggi Korea Utara'. Begitu juga pemimpin yang menggantikannya, tetap tidak dipanggil Presiden.

Jong-il mempunyai 3 orang isteri, Hong Il-chon (1966), Song Hye-rim (1968) dan Kim Yong-hui (1974). Dari 3 orang isteri ini Kim Jong-il memperoleh beberapa orang anak:

1. Kim Jong-nam (1971-2017)
2. Kim Sul-song (1974)
3. Kim Jong-chul (1981)
4. Kim Jong-un (1984)
5. Kim Yo-jong (1987)

Entah macam mana, setelah Kim Jong-il meninggal dunia (2011), anak keempatnya, Kim Jong-un yang baru berusia 26 tahun ditabal sebagai Pemimpin Tertinggi Korea Utara. Abang-abang yang lebih senior tidak terpilih. Jong-un lebih ke hadapan. Masih terlalu muda. Tapi ganas.

Bagi mengukuhkan kedudukannya, dia sanggup mengeluarkan perintah bunuh terhadap mana-mana ahli keluarga yang dibimbangi akan mengancam kedudukannya.

Abangnya (berlainan ibu) Kim Jong-nam dikatakan termasuk dalam senarai yang dikeluarkan perintah supaya dibunuh. Menyebabkan dia tidak boleh tinggal di Korea Utara. Berpindah randah dari satu negara ke negara lain. Hinggalah dia di bunuh di KLIA bulan lalu.

Malaysia sebuah negara berdaulat. Ada undang-undang. Bukan negara koboi. Apabila berlaku kes pembunuhan, ia perlu disiasat. Mayat perlu dibedah siasat. Suspek perlu ditahan, disiasat dan jika ada bukti perlu dihadapkan ke mahkamah.

Namun Korea Utara tidak membenarkan mayat itu dibedah siasat. Kedutaannya di KL juga tidak memberikan kerjasama dalam proses siasatan. Ketua Polis Negara pula mengisytiharkan salah seorang suspek pembunuhan sedang bersembunyi di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur.

Dutanya, Kang Chol pula tidak hadir apabila dipanggil ke Wisma Putra. Bahkan mempertikaikan undang-undang Malaysia. Menyebabkan Malaysia menggunakan peruntukan Artikel 9 Konvensyen Vienna untuk menghalau duta berkenaan pulang ke negaranya. Malaysia turut memanggil pulang pegawai-pegawai kedutaannya di Korea Utara.

Sebagai tindak balas, Korea Utara menyekat kepulangan kakitangan kedutaan Malaysia dan beberapa warganya yang bertugas di Pyongyang. Sebagai diplomat, mereka tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa.

Umum mengetahui, krisis ini adalah berat sebelah. Dari segi legal, tindakan Malaysia tertakluk kepada undang-undang tempatan dan antarabangsa. Korea pula dilihat hanya bertindak sebagai samseng pembuli.

Dari segi kekuatan ketenteraan, Malaysia bukanlah tandingan Korea Utara. Sejak sekian lama Korea Utara tidak pernah memperdulikan peraturan antarabangsa dalam membina kekuatan ketenteraannya.

Apa yang membimbangkan, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini antara kedua negara ini, kuasa besar dunia pasti akan masuk campur. Malaysia dilihat tidak mampu bersendirian dalam berhadapan dengan Korea Utara.

Malaysia terpaksa mencari rakan yang lebih kuat untuk membantu. Mungkin China dilihat boleh membantu berdasarkan hubungan intim Najib dengan pemimpin negara berkenaan sejak kebelakangan ini. Namun sehingga kini China dilihat tidak berminat masuk campur. China juga tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Korea Utara.

Pilihan yang ada di hadapan Malaysia (jika pemimpin negara ini tidak berhati-hati) ialah Amerika Syarikat. Ternyata negara-negara yang 'ada pasal' dengan Korea Utara sebelum ini seperti Korea Selatan, Jepun dan lainnya menjalin hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.

Namun adakah keputusan untuk memilih Amerika Syarikat sebagai sekutu untuk berhadapan dengan Korea Utara keputusan yang bijak dan menguntungkan?

Adakah Amerika Syarikat boleh dijadikan kawan? Apakah kebaikan yang diperolehi negara-negara yang pernah meminta pertolongan dengan Amerika untuk berhadapan dengan musuh mereka?

Berapa banyak kem tentera Amerika yang akan dibina di Malaysia seperti mana dibina di Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi, Iraq, Afghanistan, Kuwait, Mesir dan lain-lain yang pernah minta tolong dengan Amerika?

Persoalan seterusnya, adakah Amerika akan menjadi tetamu yang reti balik ke rumahnya setelah selesai tugasan yang diberi?

Segala persoalan ini memerlukan kebijaksanaan pemimpin negara memikirkannya. Bukan sekadar akal yang pintar diperlukan, tetapi keimanan dan fikrah yang jelas juga tidak boleh dipandang enteng. Ia bukan perkara kecil. Malaysia yang kini aman damai tidak mustahil akan menjadi seperti Syria yang hancur luluh dipercaturkan kuasa-kuasa luar!

#semogakitadanmalaysiadiberiperlindunganolehAllaswt
#orgcakapXlamalg

0 comment... add one now