SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA) : KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN

Petang itu begitu hening. Hanya kedengaran kicauan burung yang pulang ke sarang sekali sekala diselangi bunyi unggas. Begitulah sepinya suasana di dalam hutan Gunung Pueh, Lundu, Sarawak apabila  fajar mula terbenam. Tiada siapa yang sangka didalam kesepian itu  terdapat 12 kelibat manusia yang sedang berlegar bukan mencari hasil hutan mahupun bersiar-siar menikmati keindahan alam. Malah, tiada siapa juga yang tahu atas tujuan apakah kumpulan ini berada di situ melainkan organisasinya sendiri. Ya! Itulah platun yang diketuai oleh Almarhum Kapt (B) Hamid Awang yang tekun memerhati keadaan sekitar untuk menjejak pengganas komunis yang mengancam keselamatan negara dan menggugat isinya.

SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA) : KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN

Segar diingatan Taib pada ketika itu. Tanggal 7 April 1973, platun mereka telah diarahkan oleh Pegawai Pemerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja untuk mebuat rondaan selepas mendapat maklumat perisikan melaporkan bahawa  terdapat aktiviti komunis di kawasan itu. Apa yang lebih melucukan, platun khas itu ditubuhkan serta-merta terdiri daripada kumpulan barisan belakang yang dikatakan bermasalah memandangkan Kapt Hamid sendiri sedang dalam ‘edah’ (tidak dibenarkan memegang senjata) kerana baru dibicarakan di makhamah tentera atas kesalahan disiplin   yang dilakukan oleh beliau. Meskipun dianggap sebagai sekumpulan ‘budak nakal’ namun mereka sentiasa menyedari akan tugas dan peranan sebagai benteng pertahanan negara. Tiada sekelumit pun perasaan ingin memberontak timbul apabila menerima  dan melaksanakan arahan pihak atasan.

Jam menunjukkan 1630H. Sememangnya difikirkan secara logika ia masih awal untuk sang fajar melabuhkan tirainya. Tetapi tidak ditengah-tengah hutan belantara. Keadaan mulai gelap seperti senja memainkan peranannya. Taib pada ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai anggota peninjau bersama-sama Sjn Dolah. Walaupun beliau baru sahaja berkhidmat selama dua tahun dan masih berpangkat prebet, namun beliau tiada perasaan gentar untuk berada di hadapan. Kapt hamid mengarahkan  platunnya berhenti dan kumpulan peninjau  untuk meninjau sekitar kawasan tersebut. Taib memulakan peninjauan dan mengorak langkah dengan berhati-hati agar tidak dikesan oleh pihak musuh.

SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA) : KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN
Sjn Taib tengah (Baju tak berbutang)


Terpijak Sesuatu


Tiba-tiba, kakinya terpijak sesuatu yang keras. Terdiam beliau seketika. Jantung mula berdegup kencang diselangi helaan nafas yang keras. Masa terhenti dan perasaan takut menyelebungi diri. Manakan tidak, dirinya terasa bagaikan nyawa dihujung tanduk dan dan paling ditakuti beliau adalah kedudukan mereka pasti akan disedari dan ini akan membahayakan pasukannya. Taib menenangkan dirinya lantas fikirannya terdetik, sejak bila ada booby trap di bumi kenyalang ini?

Terus beliau tunduk dan memeriksa di bawah tapak kakinya. Aksi spontan beliau sedikit menggentarkan Sjn Dolah. Serta-merta riak wajahnya mempamerkan kelegaan dan kesyukuran apabila melihat tunggul kayu yang dipijaknya. Mereka berdua tertawa kecil melihat keadaan itu. Tetapi keadaan itu tidak terhenti begitu sahaja. Setelah diamati barulah mereka berdua menyedari bentuk tunggul itu menentang hukum alam. Ia telah digergaji! Dan ia masih  basah. Taib terus memerhatikan keaadaan sekeliling. 50 meter dihadapan mereka terdapat kayu balak mati sebesar tiga pemeluk dewasa terbaring melintang. Disebelahnya terdapat air terjun kecil dan sungai yang agak dalam berdasarkan pengamatannya. Hatinya kuat berkata ada sesuatu yang tidak kena di situ. Perlahan-lahan beliau merangkak ke arah kayu balak itu, alangkah terkejutnya apabila melihat empat pengganas komunis sedang berehat namun penuh berdisiplin dengan keadaan membentuk bulatan dan saling berhadapan serta jari sentiasa bersedia di picu senjata. Mereka terus bergegas menuju ke lokasi Kapt Hamid untuk melaporkan situasi tersebut.

Sesampainya mereka di lokasi itu, terus ditaklimatkan kepada Kapt Hamid akan penemuan mereka berdua. Setelah mendengar laporan daripada Taib, Kapt Hamid mencadangkan untuk pulang semula ke pasukan dan memaklumkan kepada Pegawai Memerintah untuk tindakan selanjutnya. Mendegar cadangan itu, Taib terus membentak dan menyatakan sekiranya mereka datang kembali sudah pasti kesemua pengganas tersebut tidak akan ditemui kerana modus operandi komunis sememangnya tidak akan tinggal lama di penempatan sementara. Kapt Hamid menghela nafas panjang. Bukan kerana takutkan pengganas komunis itu beliau tidak mencadangkan sebarang tindakan ofensif. Tetapi mengambil perkiraan keadaan dengan langit yang kian kelam itu, dikhuatiri berlakunya perkara yang tidak diingini pada anak-anak buahnya.

Taib Jadi Ketua Platun


Namun melihat keadaan dan riak wajah Pbt Taib dan Sjn Dolah yang berkobar-kobar itu, ditambah lagi dengan kebenciannya terhadap komunis-komunis durjana yang menggangu keamanan negaranya, lantas beliau membeli cadangan Taib. “Baiklah Taib! Kalau ini yang kamu berdua mahukan, aku lantik kamu sebagai Ketua Platun. Kamu sampaikan perintah kepada kami semua”, ujar Kapt Hamid. Berderau Taib apabila perkataan itu keluar dari bibir Kapt Hamid. Manakan  tidak, dia hanyalah prebet dan pendengar perintah pula adalah pegawainya sendiri dan PTT Kanan.  Tidak sempat lagi akalnya mencari jalan untuk menepis tugasan itu, Kapt Hamid bersuara lagi. “Kan kamu yang pergi melaksanakan tinjauan dan kamu sahaja lebih arif dan tahu akan kawasan serta kedudukan musuh tersebut. Lagipun aku masih dalam pantang”. Terus diamati muka pegawainya itu dalam-dalam. Entah dari mana keyakinan Taib mula datang. Terus hati kecilnya berkata, “Tidak mengapa Taib. Kau pernah belajar dan  lakukan perkara ini semasa di pusat latihan semasa rekrut dahulu”. Taib terus membuat persiapan untuk meberikan perintah segera. Lagaknya seperti jurulatih. Tergelak juga Kapt Hamid melihat keadaan si Taib. Namun, dek kerana kesungguhan dan sikap profesionalisme yang ditonjolkan oleh Taib, ditahan gelaknya itu. “Baiklah! Semua dah dengar perintah yang disampaikan oleh Taib. Mari kita  teruskan misi kita ini. Ingat! Mati kita, mati terbela. Hidup kita, hidup membela!”, ujar Kapt Hamid. Berderau dengan kata-kata semangat daripada Kapt Hamid, mereka terus bergerak menuju pengkalan sementara musuh.

SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA) : KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN

Taib diarahkan untuk memimpin platun itu. Sesampainya mereka disitu, Taib mengarahkan satu kumpulan untuk berada di seberang air terjun, bersiap-sedia untuk membunuh musuh yang terlepas dari serangan itu. Satu kumpulan terdiri daripada anggota perubatan dan semboyan pula diarahkan untuk menjadi kumpulan kedalaman. Manakala bagi kumpulan serangan pula adalah Taib, Sjn Dolah dan Kapt Hamid. Perlahan-lahan mereka merangkak ke arah kedudukan musuh dan apabila tiba di balak  yang melintang itu, terus Taib berdiri untuk menembak. Sekali lagi Taib diuji sekali lagi apabila senjatanya mengalami stoppages sedangkan pada masa itu Taib sudah berdiri terpacul dihadapan komunis-komunis itu. Taib terus tidak berfikir panjang. Dari sisi pandangannya balak itu kelihatan setinggi paras lututnya sahaja. Terus beliau melompat di tengah-tengah kumpulan komunis. Tergamam mereka dibuatnya dengan aksi spontan Taib. Tidak cukup dengan itu, belum pun sempat komunis-komunis itu tersedar dari kejutan daripada Taib, Nah! Satu libasan padu  daripada Taib menggunakan udi senjata tepat mengenai-mengenai kepala tiga daripada empat pengganas komunis  tersebut. Terus seorang komunis yang terlepas daripada hayunan, terjun ke dalam sungai di sebelah penempatan mereka. Taib yang terjatuh selepas membedal pengganas komunis itu masih lagi dalam keadaan terbaring. Beliau cuba bangun dan alangkah terkejutnya beliau apabila dilihat salah seorang yang dihempuknya menggunkan senjata tadi telahpun berdiri dan mengacukan senjatanya tepat ke kepala Taib. Sekali lagi Taib berada di ambang maut. Tiba-tiba, Dam! satu bunyi letupan yang membuatkan kepala Taib hingar seketika.

Selang beberapa ketika, desingan di  kepalanya beransur hilang. Taib mengamati keadaan sekitar. Gelap! Sememangnya gelap memandangkan waktu itu malam. Fikirannya bercelaru seketika. Tiba-tiba terdengar namanya dipanggil berulang-kali. Taib! Taib! “Itu suara Kapt Hamid”, desus hatinya. “Bagaimana keadaan kamu Taib?”, suara itu terus mengajukan soalan. “Saya baik sahaja tuan”, jawab Taib kepada pegawainya. Rupa-rupanya ketiga-tiga pengganas komunis tadi telah terkulai layu menyembah bumi.  Ketiga-tiga mereka memakan bedilan peluru M 79 Kapt Hamid. “Tuan, terima kasih kerana menyelamatkan saya tadi tuan. Kalau tidak kerana tuan, sudah tentu saya akan senasib dengan musuh durjana ini tuan”, Taib bersuara memecah keheningan malam itu. “Sebenarnya Taib, kamu tidak perlu berterima kasih kepada aku kerana aku melepaskan tembakan itu secara melulu sahaja. Tetapi pelik dan aneh kamu tidak terkena dan tercedera langsung dengan bedilan peluru aku tadi”, Kapt Hamid membalas berseloroh.

Kecut perut Taib mengenangkan keadaan itu. Beliau merasa seolah terlepas daripada mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Beliau merasakan nyawanya seperti dimain-mainkan pada hari itu. Terus Taib tergelak kecil. Tetapi bagi dirinya, Kapt Hamidlah yang menyelamatkan nyawanya. Tanpa tindakan drastik daripada beliau, mungkin kini Taib tidak lagi melihat keindahan dunia. Kapt Hamid telah memanggil kesemua anggotanya untuk atur semula. Tetapi setelah dihitung, anggotanya kurang seorang. “Mana Ali?”, teriak Kapt Hamid mencari anggota perubatannya. Semua diam seribu bahasa. “Tadi rasanya saya arahkan dia untuk tinggal di kumpulan belakang bersama-sama anggota semboyan tuan”, ujar Taib memecah kebisuan. “Eh! Tidaklah staf. Dia merangkak mengikut staf semasa melaksanakan serangan tadi.”, anggota semboyan mencelah.

SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA) : KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN

Terus Taib berlari ke arah pokok balak tadi. Berdegup-kencang jantung Taib apabila ternampak sekujur tubuh kaku di bawah balak itu. Perlahan-lahan didekati tubuh tersebut dan matanya telah membenarkan fikirannya. Ali telah pergi menghadap Illahi. Dilihat terdapat kesan tembakan didadanya. Terduduk Taib disebelah insan yang diangkat martabatnya oleh tuhan yang esa kerana mati syahid mempertahankan agama, nusa dan bangsa. “Ali, mengapakah kau ikut kami sekali tadi. Bukankah aku dah berpesan untuk berada di kumpulan kedalaman?’”, keluh Taib sambil memandang wajah yang baru berusia 19 tahun itu. Taib akui ini adalah ketentuan Yang Maha Kuasa dan dirinya bukannya sesiapa selain merupakan seorang hamba yang tidak berhak mempersoalkan suratan yang telah ditetapkan.

Tetap segar diingatan


Kini, telah 44 tahun peristiwa ini berlalu. Namun, baginya semua bagai baru semalam berlaku. Sjn (b) Taib bersyukur diberi nikmat keamanan pada hari ini, tidak seperti masa yang beliau lewati suatu ketika dahulu. Malaysia kini lebih aman dan damai.   Justeru, beliau menasihatkan khususnya kepada anggota tentera agar tidak terlalu selesa dengan keamanan yang dikecapi kini. Ancaman sentiasa ada. Cuma, bentuknya berbeza-beza. Oleh itu, janganlah menyingkatkan pemikiran bahawa ancaman kesemuanya berbentuk fizikal. Beliau juga memanjangkan penghargaan kepada pucuk pimpinan tertinggi TD kerana masih menjaga kebajikan dirinya sebagai seorang veteran tentera. Beliau juga telah menzahirkan perasaan kecewanya kepada veteran-veteran tentera yang sering menyalahkan pemimpin atasan di atas dasar tidak menjaga kebajikan. Walhal, golongan ini tidak pernah meminta melalui saluran yang betul kerana bagi beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjaga kebajikan anggotanya.

INFO Sjn Taib bin Tawal
Sjn Taib bin Tawal (bersara) merupakan anak kelahiran Ayer Molek, Melaka dan dilahirkan pada 30 April 1952. Beliau telah menamatkan pelajarannya di Sekolah Menengah King Ibrahim V, Johor pada 1969 dengan kelulusan SPM berpangkat dua. Beliau telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1974 bersama Puan Zuraidah Hashim dan dikurniakan seramai 4 cahaya mata. Beliau telah menerima latihan ketenteraan selama enam bulan di Pusat Latihan Rekrut di Port Dickson dan seterusya melapor ke pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1970. Sjn Taib telah dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) di atas keberaniannya yang dipamerkan semasa pertempuran di Gunung Pueh, Lundu, Sarawak pada 7 Apr 1973 di mana seramai tiga anggota kanan Pasukan Gerila Rakyat Kalimantan (PARAKU) berjaya dibunuh oleh platunnya yang diketuai oleh Kapt (b) Hamid bin Awang. Dalam pertempuran itu juga, Kapt Hamid telah diberikan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) di atas keberanian beliau membunuh tiga anggota kanan PARAKU sekaligus menyelamatkan nyawa Sjn Taib. Kini, Sjn Taib mengusahakan warung kecil yang menghidangkan masakan panas bersama-sama isterinya di Kg Tg Mak Midah, Air Molek, Melaka.

sumber asal
Kapt Aminin Hafizhin Minhad
http://btdmonline.net/

0 comment... add one now