PH Perak Goyah, Usul Undi Tidak Percaya Kepada MB

PH Perak Goyah, Usul Undi Tidak Percaya Kepada MB,ok!: UMNO Perak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan goyah berikutan terdapat usaha dalam kalangan beberapa EXCO negeri itu untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

PH Perak Goyah, Usul Undi Tidak Percaya Kepada MB

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, mendakwa EXCO berkenaan sudah menghubungi sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, semua ADUN UMNO itu bagaimanapun sudah berikrar tidak akan berkomplot dengan mereka kerana parti itu mempunyai jalan tersendiri untuk menjadi kerajaan termasuk menerusi pilihan raya, bukan dengan cara mengkhianati mana-mana pihak.

“Formula mereka ialah jika berlaku undi tidak percaya (terhadap Menteri Besar), 18 ADUN DAP, enam ADUN Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR akan menyokong, manakala tiga ADUN iaitu Ahmad Faizal sendiri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, tidak akan menyokong.

“Ini bermakna 28 ADUN akan menyokong undi tidak percaya, tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan, sebab itu mereka perlukan (sekurang-kurangnya) dua daripada ADUN UMNO (menyokong usul itu) (bagi membolehkan mandat majoriti mudah 30 ADUN).

“Sehingga semalam pun ada ADUN UMNO dihubungi, saya tahu sebab mereka (ADUN UMNO) melaporkan balik kepada saya... kita tunggu masa yang sesuai untuk mengisytiharkan kepada media siapakah mereka dan apa yang mereka sudah buat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program pertemuan pucuk pimpinan UMNO diketuai presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama kepemimpinan UMNO Perak di sini hari ini.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang, berkata pihaknya tidak akan mencampuri pertelingkahan yang berlaku dalam kerajaan negeri tetapi percaya krisis politik ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009 akan berulang.

Mengimbas krisis 2009, kerajaan Pakatan Rakyat hanya mampu bertahan selama sembilan bulan selepas dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurut Saarani, kerajaan negeri tidak boleh menafikan bahawa mereka sedang bercakaran sesama sendiri apabila ada EXCO menafikan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar.

“Mereka tidak boleh menafikan (pertelagahan itu), kalau tidak, tidak akan berlaku apabila menteri besar umum satu benda seperti pembinaan lapangan terbang di Behrang, esoknya seorang EXCO menyanggah (kenyataan itu), apabila menteri besar umum Kanun Tanah Negara tidak membenarkan pemberian hak milik tanah 999 tahun, esoknya dua orang EXCO yang menyanggah... mana boleh EXCO menyanggah menteri besar.

“Mereka akan mengulangi apa yang berlaku pada tahun 2009 sebab mereka bercakaran sesama sendiri. Bayangkan jika EXCO kerajaan negeri `balun’ menteri besar, ia tidak baik, itu disiplin yang tidak betul,” katanya.

Ditanya kemungkinan krisis itu akan mengakibatkan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN), Saarani tidak menolak kemungkinan itu jika pertelagahan itu berterusan dan kerajaan negeri menemui jalan buntu untuk menyelesaikannya.

Ditanya bila akan dilakukan undi tidak percaya terhadap menteri besar itu, Saarani berkata: “Saya tidak tahu, saya tidak masuk campur, (tetapi) ini sangat serius, lebih baik tanya menteri besar.”

Kredit
Berita Harian

0 comment... add one now