"Tak apa, bila saya dapat tahu supestar Kollywood yang mengambil limosin saya. Cuma agensi pengembaraan sepatutnya memaklumkan kepada saya lebih awal," lapor The Star Online.
Amber telah menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama hampir tiga jam, dengan menantikan limosin yang sama untuk menjemputnya ke majlis pembukaan kafe Hello Kitty di Sunway Pyramid.
"Bila saya dengar mengenai 'rampasan' itu, saya tidak fikir seorang selebriti akan melakukannya. Saya percaya Rajinikanth dan amat menghormati beliau. Beliau tak akan melakukan perkara seperti itu kepada orang lain," katanya.
Amber yang melakukan lawatan ke Da Nang, Vietnam untuk menjadi juri pada pencarian model 'Face of Vietnam' tiba di KLIA pada kira-kira pukul 6.15 petang Isnin.
Bagi memastikan beliau tiba pada majlis Hello Kitty tepat pada waktunya, Amber membuat dandanan rambut dan bersolek semasa transit di Ho Chi Minh dan memutuskan untuk tidak mendaftar masuk bagasi.
Setibanya di KLIA, Amber sudah bersedia untuk meninggalkan lapangan terbang bagi menghadiri majlis berkenaan pada pukul 6.20 petang.
"Tetapi bila saya telefon pemandu berkenaan, dia kata dia ingatkan waktu ketibaan saya pukul 7.30 petang. Saya tanya dia berapa lama saya perlu tunggu, dan dia beritahu dia perlu mengambil masa 45 minit untuk sampai ke KLIA," katanya.
Amber kemudiannya menghubungi semula bagi mengetahui kedudukan pemandu itu sejam selepas itu.
"Dia kata dia ada kecemasan di Melaka, dan perlukan lagi 45 minit," katanya.
Amber menghubungi pemandu berkenaan buat kali ketiga pada pukul 8.20 malam tetapi tidak berjawab.
Kliennya menundakan waktu pembukaan kafe kepada pukul 9 malam, dan Amber mengambil keputusan untuk menaiki teksi ke Sunway Pyramid dan tiba 20 minit sebelum pusat membeli-belah itu tutup pada 10 malam.
Amber memberi penjelasan bahawa beliau terpaksa menunggu lama kerana kliennya telah melaburkan sejumlah wang untuk menghiasikan limosin berkenaan, dan membayar untuk kemunculannya termasuk ketibaan pada pembukaan kafe menggunakan kenderaan tersebut.
"Saya perlu jalankan tanggungjawab saya. Saya berasa serba salah terhadap klien saya, dan mereka memohon maaf. Mereka meminta saya supaya menunggu limosin itu, dan saya fikir ia kerana mereka telah berbelanja banyak untuk pelekat (Hello Kitty)," katanya.
Beliau menjelaskan kepada kliennya bahawa limosin tersebut sudah ditempah sepanjang hari.
Menurut Amber, penulis blog lain juga terpaksa menunggu lama kerana kenderaan itu sepatutnya menjemput mereka untuk lawatan limosin bersama media sebelum sesi bergambar di hadapan kafe.
Bagaimanapun, apa yang berlaku masih menjadi misteri dan beliau berharap klienya dapat menjelaskan mengenai insiden berkenaan.
"Saya harap saya betul, kerana mengambil telefon orang lain adalah salah," katanya mengenai lapoan bahawa wakil kepada bintang ternama itu merampas telefon mudah alih milik pemandu tersebut.
"Saya amat menghormati Rajinikanth dan saya tidak fikir beliau akan melakukan perkara ini kepada orang lain. Beliau seorang yang matang," tambah Amber.
via
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/10/30/amber-chia-kata-rajinikanth-tak-rampas-limo/