Arwah Yus Kerap Kali Ditipu Atas Sikap Dermawannya: Ramai yang tidak tahu allahyarham Yus Jambu atau Yussry Edoo,39, merupakan seorang yang paling baik kepada rakan-rakannya.
Antara yang paling rapat dengan Allahyarham ialah Che Mat Raja Lawak yang juga dari Perlis, pernah mengharungi saat susah senang bersama Allahyarham dari zaman pelawak itu aktif menjadi artis Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perlis.
Kata Che Mat atau Mohd Rahmat Saidin,31, kali terakhir dia menghabiskan masa bersama Allahyarham Ogos lalu bermain bola bersama dengan rakan-rakannya yang lain.
Sahabat Dedah Kisah Siapa Sebenarnya Yus Jambu
“Bayangkan setiap malam dalam tempoh dua minggu itu, kami bermain bola dan futsal setiap malam, Yus yang membayar semua duit permainan kami sama ada di gelanggang futsal dan padang termasuklah menaja jersi yang dipakai kami.
“Jika bermain futsal kami akan main sehingga dua jam, manakala jika bermain bola sepak dialah yang bayar duit sewa padang sebanyak RM300 bagi pasukan kami, dia langsung tidak berkira malah selepas bermain dia akan belanja kawan-kawan makan dan minum,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Che Mat memberitahu Allahyarham adalah seorang hamba ALLAH yang ikhlas dalam memberi kerana sepanjang perkenalan mereka sejak 2002 Allahyarham tidak pernah mengungkit mengenai duit.
Bayar bil bersalin RM2,000
Che Mat berkata, dia tidak akan melupakan insan sebaik Yus yang pernah membantunya membayar bil hospital sebanyak RM2,000 semasa isterinya bersalin empat bulan lalu.
“Ketika itu, saya belum menerima bayaran bagi lakonan dalam sebuah rancangan. Selepas menerima bayaran, saya terus menghubunginya untuk melunaskan hutang saya dengan Yus, tetapi Yus enggan terima dan menganggap bayaran itu sebagai sedekah kepada anak saya.
“Isteri saya sendiri sangat terharu dan kami menangis sebaik sahaja mendapat tahu dia sudah tiada,” ujarnya yang pernah menyertai pertandingan Raja Lawak pada 2007.
Duit Yus bukan miliknya
Seorang lagi rakan, Hanuar Hussin, 41, berkata, dia mengenali Yus sejak di sekolah menengah iaitu pada 1989.
Katanya, Yus pernah menyebut bahawa duit yang diperolehi melalui hasil usaha kerasnya bukanlah milik dia seorang, tetapi adalah milik semua orang.
“Kerana itulah dia tidak pernah melupakan rakan-rakannya. Apabila Yus balik ke Perlis dan tidur di hotel sekitar Kangar, pasti ramai kawan yang akan menemaninya di meja makan. Dia akan menghubungi rakan-rakan untuk belanja makan.
“Malah sebulan sebelum kematiannya, dia ada datang berjumpa saya untuk memberikan duit kepada anak-anak saya, mesti dia akan hulurkan RM100 untuk saya setiap kali dia pulang ke sini,” katanya.
Jelas Hanuar atau lebih dikenali sebagai Enoi, anak-anaknya menangis ketika mendapat berita kematian Yus sementelah mereka begitu rapat dengan arwah.
Ramai ambil kesempatan
Seorang lagi rakan, Saiful Andri Tan, 43, atau Pon, berkata sikap pemurah Yus menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan untuk meminjam duit daripadanya, malah ada yang sanggup menipu Yus kerana duit.
“Tetapi itulah Yus, dia tidak pernah mengungkit atau merasa dirinya tertipu, di mulutnya hanya perkataan halal yang keluar jika orang tidak membayar hutang.
“Yus ini insan yang sanggup susah demi orang lain. Antara ayat yang selalu keluar daripada mulutnya ialah ‘biar aku menangis sambil berlari dalam hujan’. Ayat itu saya akan ingat sampai bila-bila.
"Disebabkan kehidupannya pernah susah sebelum ini, maka dia tidak mahu orang lain menempuh perkara yang sama seperti dia lalui,” ujarnya.
Pon berkata, Yus merupakan seorang artis yang hebat, bukan sahaja pelawak, pelakon, berkemahiran menari, bermain pelbagai jenis alat muzik, malah Yus adalah insan pemurah yang sukar dicari.
Bercerita lanjut, Pon memberitahu, Yus seorang insan yang tidak mahu rakan-rakannya susah, malah apabila berkunjung ke rumahnya di Selayang, dia mahu rakan-rakan tidur di rumahnya dan mengajak tinggal bersamanya tanpa perlu membayar sewa.
“Yus kata, kalau dia dah kahwin pun dia akan menyediakan sebuah bilik untuk rakan-rakannya lepak dan tidur, dia kata, dia hanya akan mencari calon isteri yang memahami cara hidupnya.
“Namun ALLAH lebih sayangkan Yus, dia pergi meninggalkan kenangan yang tak mungkin saya dan rakan-rakan lain lupa,” katanya.
#Allah muliakan kehilangan pakyus dengan membongkar semua kebaikan beliau semasa di dunia..semoga syurga tempatmu..
via
Arwah Yus Kerap Ditipu Atas Sikap Dermawannya
VideoViralMalaysia0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →