Keluarga itu dikatakan gemar mengumpul sampah, malah meninggalkan rumah dalam keadaan kotor dan jijik selepas lebih tiga bulan gagal melunaskan sewa.
Pemilik kediaman berkenaan, Kasiran Geman, 54, berkata, dia dan keluarga yang meninjau rumah itu terkejut melihat lantai dipenuhi botol plastik, bungkusan makanan, sisa makanan kucing dan pakaian terpakai.
Menurutnya, penduduk di flat itu menyatakan sudah lebih sebulan empat beranak yang menyewa tidak pulang ke kediaman berkenaan.
Katanya, usaha keluarganya mengesan penyewa bagi mendapatkan penjelasan gagal apabila tidak menjawab panggilan telefon.
“Selama tiga tahun, kami hanya bertahan dengan sikap penyewa yang tidak berdisiplin membayar sewa pada setiap bulan biarpun kami menawarkan sewa RM350 saja sedangkan ada kediaman mengenakan bayaran mencecah RM500.
“Ketua keluarga itu yang juga warga Singapura bekerja sebagai pengawal keselamatan, isterinya berkerja kilang manakala dua anak perempuan mereka belajar di Singapura.
“Kami tidak sangka pasangan berusia 40 tahun itu langsung tidak membersihkan rumah dan sanggup hidup dalam keadaan kotor dengan sampah bersepah di merata tempat dan bau meloyakan,” katanya yang tinggal di Taman Universiti, Skudai.
Kasiran berkata, setiap kali mengunjungi kediaman itu, pasangan berkenaan tidak pernah mempelawa dia masuk ke dalam rumah dan meminta supaya tidak diganggu pada hujung minggu kerana mahu berehat.
Menurutnya, kali terakhir dia berbual dengan ketua keluarga berkenaan pada akhir Januari lalu bertujuan menuntut sewa tertunggak sejak Disember.
Katanya, dia tidak mengenakan bayaran deposit ketika mereka pindah masuk, selain memberi kelonggaran dengan mengecualikan kutipan sewa pada Ramadan atas dasar simpati kerana mendakwa mereka bukan orang senang.
“Dengan penampilan mereka yang bersih di luar, tidak disangka mereka bertindak menghilangkan diri begitu saja dipercayai bagi mengelak membayar sewa tanpa mempedulikan keadaan rumah yang dihuni selama ini.
“Keluarga kami mungkin terpaksa mengeluarkan kos mengupah beberapa pekerja pembersihan supaya keadaan ini tidak menjejaskan keselesaan penduduk lain.
“Niat kami bukan mahu mengaibkan keluarga itu, sebaliknya berharap mereka tidak menganiaya pemilik rumah lain dengan mengulangi perbuatan sama pada masa depan,” katanya.
via
myMetro
pixelperfext.blogspot.com
pixelperfext.blogspot.com