Suami Bergurau Dengan Rakan, Namun Tetap Jatuh Talak Pada Isterinya

Suami Cuma Bergurau Dengan Rakan, Namun Tetap Jatuh Talak Pada Isterinya:

Suami Bergurau Dengan Rakan, Namun Tetap Jatuh Talak Pada Isterinya

Perhubungan suami isteri ada bermacam-macam ragam. Sama ada di pihak suami atau isteri ada sahaja perkara yang diucapkan dan dilakukan yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Kita juga tentunya biasa mendengar dialog seperti di bawah ini:

Suami: Jika engkau keluar dari rumah ini maka jatuhlah talak.

Isteri: Jika saya keluar buang sampah?

Suami: Boleh keluar buang sampah

Isteri: Pergi kerja?

Suami: Kerja tentulah boleh! Jika tidak, kita nak makan apa? Tapi lepas kerja balik rumah terus.

Isteri: Keluar bayar bil-bil?

Suami: Itu boleh! Mesti bayar sebelum air dan elektrik kita kena potong.

Kedengarannya agak lucu. Tetapi daripada kata-kata atau lafaz seperti ini sebenarnya akan memberi kesan kepada kedudukan pasangan terbabit sebagai suami isteri. Talak tidak harus dipersendakan antara suami isteri.

Jika suami melafazkan sesuatu seperti jika engkau keluar rumah jatuh talak, maka akan jatuhlah satu talak jika si isteri keluar rumah. Ia jelas kerana suami melafazkan talak itu kepada isteri dengan niat.

Bagaimana pula jika selepas suami mengucapkan itu, isteri bertanya lebih lanjut. Lalu suami menarik semula kata talaknya dengan syarat-syarat tertentu. Adakah ucapan talak itu suatu permainan? Boleh ditarik balik setelah diucapkan? Adakah kuasa talak itu sebagai senjata suami untuk mempermainkan perasaan isteri? Apakah hak isteri bila ini berlaku?

Tidak dinafikan, terdapat pasangan suami isteri yang masih terus hidup bersama walaupun suami sudah beberapa kali mengucapkan talak kerana salah faham sama ada mereka sudah sah bercerai atau tidak.

Ada kes suami yang sedang marah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit isteriya bahawa “aku ceraikan kamu’ pada sebelah pagi. Tetapi pada sebelah petang, setelah reda marah, suami pulang ke rumah dan bersama isteri semula atas alasan talak pagi itu ditaip ketika dia sangat marah dan tidak menyebut nama isterinya. Adakah jatuh talak ke atas isterinya?

Ada dua pendapat ulama mengenai cerai yang ditaip tanpa dilafazkan ini. Ada ulama yang menyatakan cerai yang ditaip dan dihantar melalui SMS, facebook, blog atau twitter tidak sah kerana tidak dilafazkan.

Mereka mengikut hukum asal, iaitu cerai mesti dilafazkan. Lafaz cerai ada dua bentuk iaitu lafaz tasrih/sarih (nyata) iaitu mestilah lafaz yang jelas dan kukuh atau lafaz kinayah/ta’rid (kiasan), dan niat orang yang melafazkannya. Sayugia semasa menulis surat cerai pun mesti diikuti dengan lafaz cerai.

Cerai yang tidak perlu lafaz hanya jika orang itu bisu dan cerai taklik. Cerai taklik telah dilafazkan lebih awal iaitu lafaz pada surat nikah semasa akad nikah. Makanya, lafaz taklik itu diterima pakai jika wujud sebarang permasalahan dalam rumahtangga.

Pada masa sama terdapat kumpulan ulama yang mengatakan sah cerai melalui SMS kerana SMS itu menunjukkan suami mengiyakan hendak bercerai dan suami ada niat ketika menaip ‘aku ceraikan engkau’.

Tulisan dalam SMS itu adalah sarih (nyata). SMS juga salah satu cabang komunikasi terkini yang sudah diterima sebagai sebahagian hidup kita hari ini. Perceraian adalah sah dan suami boleh merujuk kembali kepada isteri dalam tempoh idah.

Bagaimana pula jika suami beritahu orang lain yang dia telah bercerai dengan isterinya? Tetapi isteri tidak mendengar apa yang suami cakapkan ini. Misalnya, apabila ditanya oleh kawan-kawan, si suami menjawab dia dengan isterinya telah bercerai. Kawan tersebut kemudiannya memberitahu si isteri.

Apabila si isteri bertanya benarkan suami bercakap demikian, si suami menjawab dia hanya main-main. Apa kedudukannya apabila orang lain yang mendengar lafaz cerai itu?

Dalam kes seperti ini, jatuh talak kerana tidak ada syarat isteri kena mendengar suami mengucapkan talak ke atas dirinya. Apatah lagi jika suami melafazkan dengan lafaz yang jelas ‘saya telah ceraikan Minah’ (isterinya) kepada sesiapa sahaja. Maka jatuh talaknya.

Hukum jika suami melafazkan cerai bukan di hadapan isteri tetapi melafazkan semasa sedang berbual atau hanya bercerita tentang lafaz cerai yang jelas kepada sesiapa jua, maka jatuh talak.

Jadi kepada para suami, beringatlah, jangan bermain-main dengan perkataan `saya dah ceraikan isteri saya’ apabila ditanya oleh kawan-kawan. Kemusykilan juga timbul dalam kes suami mengaku bujang atau duda. Adakah jatuh talak?

Para ulama berbeza pandangan tentang orang yang berbohong mengaku dengan lafaz yang jelas telah bercerai atau telah mentalakkan isterinya.

Ada ulama berpendapat jika suami berbohong, maka dia berdosa kerana berbohong namun tiada apa-apa kesan terhadap hubungan dia dengan isterinya kerana ini termasuk dalam lafaz kinayah yang memerlukan niat. Sedangkan niatnya adalah berbohong bukan talak. Sama halnya jika dia berkata: “Saya tiada isteri." Ini termasuk dalam lafaz kinayah.

Pandangan Ibn Muflih dari mazhab Hambali dalam al-Furu’ lebih berat kepada jatuhnya talak apabila suami mengaku masih bujang atau tiada isteri. Jika seseorang ditanya: “Kamu telah mentalakkan isterimu?" lalu dia menjawab: “Ya!" Atau dia ditanya: “Kamu ada isteri?" Lalu dia menjawab: “Aku telah talakkan dia." Sedangkan dia berbohong, maka talak itu terlaksana."

Ulama yang lain juga berpandangan talak atau cerai sudah terlaksana cuma talak itu sama ada secara Diyanatan atau Qadha’an.

Ulama mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat sesiapa yang mengaku bercerai secara dusta, maka cerai itu terlaksana secara Qadha’an tidak secara Diyanatan.

Dalam al-Bahr al-Ra’iq dari mazhab Hanafi dinyatakan: “Sekiranya dia mengaku talak secara berbohong, maka terlaksana talak itu dari sudut Qadha’an (zahir/penghakiman)."

Dalam Asna al-Matolib Syarh Raudh al-Tolib dari ulama mazhab al-Syafie dinyatakan pula: “Sekiranya dia mengaku talak secara dusta, tidak tertalak isterinya batinan (Diyanatan), hanya berlaku talak zahiran (Qadha’an)."

Diyanatan adalah talak yang benar-benar jatuh di sisi Allah SWT walaupun dari sudut undang-undang tidak dapat disabitkan kerana ketiadaan bukti yang jelas.

Qadha’an pula talak yang dihukum jatuh oleh hakim atau kadi berdasarkan zahir disebabkan ketiadaan bukti menunjukkan tidak ada niat atau seperti seseorang yang melafazkan talak kerana terlajak cakap.

Pandangan ulama mazhab al-Syafie dan Hanafi lebih afdal diterima dalam hal ini.

Jadi, kepada pada suami, janganlah mempermainkan talak sama ada melalui percakapan, SMS mahupun ungkapan-ungkapan di media sosial. Suami mesti lebih bertanggungjawab dan menjadi pemimpin terhadap isteri dan anak-anak ke jalan yang lebih baik. Jangan dipermain hukum Allah sesuka hati kerana kesannya sangat besar. Talak yang sah akan menyebabkan berlakunya perceraian. Jika suami tidak mahu mengaku, suami akan menanggung dosa hasil dari penafian dan penipuannya itu selamanya kerana setiap ucapan dan perbuatan adalah tanggungjawab suami itu sendiri.

Kes Ke 2

Tadi datang seorang wanita muda lingkungan 30'an bersama dengan seorang rakan. Katanya baru balik dari Mahkamah Rendah Syariah. Wanita itu bercakap dengan nada perlahan. Aku cuba mendengar dengan jelas. Dia memulakan bicara.

"Boleh tak kalau saya dan suami merujuk kembali?" soalnya.

"Puan bercerai talak berapa?"

"Talak tiga," katanya sambil menangis teresak-esak.

"Allah!" spontan keluar mulut aku.

Si rakan cuba menenangkan dia. Seorang kakitangan wanita Pejabat Agama Islam memberikan penjelasan kepada wanita itu.

"Puan dan suami tidak boleh merujuk kembali sebab puan sudah bercerai dengan talak tiga melainkan selepas tamat iddah, puan berkahwin lain dan jika puan bercerai puan boleh berkahwin semula dengan suami yang pertama," jelasnya.

Wanita muda itu seolah-olah meluahkan perasaan, jadi saya pun mendengar masalah dia. Katanya, suaminya tidak melafazkan talak tiga di depannya.

"Jadi, macam mana puan tahu suami ceraikan puan dengan talak tiga?" soal aku.

"Begini, suami saya dengan nada gurauan bersembang dengan kawan dia 'aku sudah ceraikan isteriku dengan talak tiga'. Balik ke rumah, suami menceritakan kepada saya. Suami kata dia bergurau. Saya terus merujuk di Mahkamah dan Mahkamah memutuskan talak jatuh. Luluh hati saya," katanya.

Aku hanya kata, "Puan, banyakkan bersabar ye. Minggu depan puan datang ke sini berjumpa dengan pegawai kami jika puan inginkan khidmat nasihat. InshaAllah kami akan bantu berikan puan semangat. InshaAllah,".

Secara jujurnya, aku benci dengan lelaki yang suka bermain dengan talak! Bergegar Arasy Allah. - Abdul Razak Nordin.

via

2 comments.. read them below or add one

ain danie ain danie November 24, 2015
Bergurau tanpa tak berapa nak tahu pasal ilmu agama, inilah jadinya. Mungkin dah takdir Allah, serta Allah ingin memberi pengajaran. Agak2 lah nak bergurau pun, kalau kurang ilmu agama tup2 jatuh lah talak tu.
SyukKu SyukKu Oktober 15, 2016
Kalau suami ada suruh isterinya mengaku bujang kat org lain,
tapi belum sempat isterinya cakap,
suami terus cakap xyah bagitau,
Adakah jatuh talak juga??