Identiti Kim Jong Nam Disahkan Melalui DNA Anaknya

Identiti Kim Jong Nam Disahkan Melalui DNA Anaknya ,ok!: Identiti rakyat Korea Utara yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas disahkan sebagai Kim Jong-nam melalui sampel DNA anaknya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Identiti Kim Jong Nam Disahkan Melalui DNA Anaknya
Kim Han Sol - Anak Kim Jong Nam

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sampel itu diperoleh mengikut prosedur forensik.

"Saya sekali lagi mengesahkan mayat itu adalah mayat Kim Jong-nam," katanya pada satu sidang media di sini Rabu.

Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di klia2 pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing - Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan identiti Jong-nam namun tidak mendedahkan kaedah digunakan bagi membuat pengesahan berkenaan.

Kenyataan Ahmad Zahid hari ini menyanggah dakwaan Wakil Tetap Korea Utara di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kim In-ryong yang dilaporkan menafikan bahawa individu yang dibunuh di Malaysia adalah Jong-nam.

Ahmad Zahid yang sebelum itu melancarkan KUL VIP Access di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini berkata Malaysia tiada halangan bagi penubuhan inkuiri bebas antarabangsa berkaitan kes pembunuhan Jong-nam.

"Mana-mana pihak termasuk Korea Utara atau badan antarabangsa boleh menubuhkan apa jua jenis inkuiri atau Board of Enquiry," katanya.

Mengenai mesyuarat perundingan dengan Pyongyang, Ahmad Zahid berkata ia telah bermula pada Isnin lalu.

"Ya (sudah bermula) namun kita belum memuktamadkan lagi mesyuarat itu," katanya sambil menambah bahawa ia adalah mesyuarat di peringkat Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan kes pembunuhan Jong-nam.

Ketegangan Kuala Lumpur-Pyongyang timbul setelah duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas serta menghina Malaysia berhubung pengendalian kes pembunuhan itu.

Pada 7 Mac lepas, Pyongyang melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara dan Malaysia mengambil tindakan sama ke atas rakyat Korea Utara di negara ini.

Ditanya sama ada beliau optimis ketegangan Malaysia dan Korea Utara dapat diselesaikan dengan baik, Ahmad Zahid berkata:"bergantung kepada pemahaman pihak yang satu lagi".

"Hati dan fikiran kami terbuka. Kami menerima norma-norma diplomatik antarabangsa. Saya rasa banyak negara-negara sahabat menghormati Konvensyen Vienna yang telah dipersetujui di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengenai perkembangan terkini sembilan rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara, Ahmad Zahid berkata kerajaan masih berusaha bersungguh-sungguh.

"Kami amat serius dan teliti untuk membawa mereka keluar dari Pyongyang... Kami sedang mengkaji semua kemungkinan," katanya.-- BERNAMA

via
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1338211

0 comment... add one now