Editor Sarawak Report & 2 Pihak Lain Disaman RM300 juta Oleh Sultanah Terengganu

Editor Sarawak Report & 2 pihak lain Disaman RM300 juta Oleh Sultanah Terengganu,ok!: Sultanah Terengganu memfailkan saman fitnah RM300 juta terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan 2 pihak lain kerana mengaitkan Sultanah Nur Zahirah dengan skandal 1MDB serta ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dalam bukunya.

Clare Rewcastle-Brown

Rewcastle-Brown menerusi bukunya bertajuk “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose” mendakwa Sultanah Nur Zahirah terbabit dalam penubuhan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) yang menjadi pelopor 1MDB.

Selain Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd turut dinamakan dalam saman fitnah itu.

Pasukan peguam Sultanah Terengganu menghantar surat tuntutan kepada Rewcastle-Brown dan 2 pihak terbabit September lalu, untuk menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara bertulis dalam 8 hari.

Bagaimanapun, peguam Sultanah Nur Zahirah menolak permohonan maaf Rewcastle-Brown yang disifatkannya tidak ikhlas.

Rewcastle-Brown dilaporkan berkata, sultanah salah faham terhadap kandungan bukunya dan percetakan semula buku itu sudah mengeluarkan nama sultanah.

Buku Rewcastle-Brown yang dilancarkan 8 September lalu itu menceritakan siasatan ke atas skandal 1MDB.

TIA ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan yang diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Bercakap pada sidang media selepas memfailkan saman hari ini, peguam sultanah, Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah berkata, pemfailan saman itu tertangguh 2 bulan kerana kedua-dua pihak cuba mencapai persetujuan berhubung surat tuntutan September lalu.

“Apa yang saya boleh kata ialah kedua-dua pihak tidak boleh bersetuju dengan tuntutan sultanah.

“Sultanah meminta kami meneruskan saman itu semalam dan kami berbuat demikian hari ini.”

Haaziq berkata, peguam kanan, Americk Sidhu mewakili Rewcastle-Brown, penerbit dan pencetak itu.

“Kami akan serah satu salinan saman itu kepada mereka secepat mungkin,” katanya sambil menambah Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Disember ini untuk pengurusan kes.

Haaziq mendakwa kandungan dalam buku Rewcastle-Brown dipinda, selepas beliau mengadakan sidang media September lalu bagi menuntut penerbit dan pencetak menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu.

Katanya, edisi pertama buku Rewcastle-Brown mendakwa Jho Low “baik” dengan Sultanah Terengganu dan persetujuannya diperlukan untuk menubuhkan dana itu.

“Bagaimanapun, edisi berikutnya diubah kepada saudara perempuan sultan sebagai pemain utama,” katanya sambil mempersoalkan versi mana yang betul.

Kredit
Free Malaysia Today

0 comment... add one now