TLDM Nafi Tentera Laut China Ceroboh Perairan Negara

TLDM Nafi Tentera Laut China Ceroboh Perairan Negara: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan dakwaan ko­nonnya berlaku pencerobohan kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) di perairan Bintulu, Sarawak dan perairan Beting Patinggi Ali (BPA) baru-baru ini seperti yang dilaporkan media sosial.

TLDM Nafi Tentera Laut China Ceroboh Perairan Negara

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, laporan tersebut bukan sahaja tidak tepat malah kapal yang dinyatakan itu adalah sebuah kapal pe­ronda (coastguard) yang berada pada jarak 12 batu nautika dari perairan wilayah Malaysia.

“Kita sentiasa mengawasi gerakan dan kehadiran kapal berkenaan. Selain itu, sejak 18 November lalu, tiada lagi kapal RRC berlabuh di kawasan perairan BPA atas persetujuan rundingan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatan mereka dari China.

“Keadaan perairan negara khasnya di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal, malah pada masa ini pihak TLDM turut menggerakkan kapal-kapal ke BPA untuk tujuan memantau kehadiran mana-mana kapal dari negara asing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Kamarulzaman, terdapat sebahagian daripada perairan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara ini sehingga 200 batu nautika dari pantai Sarawak dan Sabah meliputi kawasan yang terlibat dalam tuntutan bertindih dengan beberapa negara lain termasuk negara republik tersebut.

Jelas beliau, kawasan perairan wilayah Malaysia adalah sehingga ke 12 batu nautika dari pantai yang mana sekiranya di­ceroboh tanpa sebab, ia boleh dianggap menggugat kedaulatan negara.

Justeru itu, ujarnya, isu berkaitan tuntutan bertindih itu sedang dan akan terus ditangani melalui perbincangan dan pro­ses diplomatik bagi mengelakkan sebarang konflik atau keadaan yang boleh menegangkan perhubungan bilateral antara negara terlibat.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah percaya pada kenyataan atau maklumat yang disiarkan dalam media sosial serta blog di laman web yang bertindak memutar belit maklumat sehingga mewujudkan persepsi negatif.

Tambahnya, pihak berkuasa yang terlibat sentiasa memantau kehadiran kapal perang asing dan tidak terhad kepada kapal RRC supaya kedaulatan dan keselamatan perairan wilayah negara tidak tergugat.

“Kita juga menjalin hubungan baik dengan tentera laut negara luar yang terlibat dalam tuntutan bertindih,” ujarnya.



via
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-nafi-kapal-8232-rrc-ceroboh-8232-perairan-1.171233
http://www.astroawani.com/video-malaysia/tldm-nafi-kapal-tentera-laut-china-ceroboh-100334

0 comment... add one now