Kisah kanak-kanak mualaf 12 tahun berpuasa

Kisah kanak-kanak mualaf 12 tahun berpuasa,ok!: Bergelar saudara baharu pada usia 11 tahun bukanlah sesuatu yang mudah.


Lebih-lebih lagi penghijrahan itu dilakukan seorang diri manakala ibu dan bapanya serta seorang adik lelaki kekal dalam agama asal mereka iaitu Buddha.

Namun kerana keinginan yang kuat terhadap agama suci itu, Mohd. Firdaus Hong Abdullah, 12, tabah mengharungi segala dugaan.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Hakim Teh di Kampung Pulau Timbul itu, bernasib baik kerana hasratnya menukar agama, mendapat keizinan ibu dan bapanya.

Malah anak kepada pasangan tukang perabot, Lim Hun Kheng, 44, dan pengusaha salun, Wan Dee Fandesa, 40, itu turut bertuah apabila mendapat bimbingan sebuah keluarga Islam yang mengambilnya sebagai cucu angkat.

Kini, setelah kira-kira setahun, Mohd. Firdaus Hong semakin serasi mendalami agama Islam termasuk menjalani ibadah puasa buat kali kedua pada Ramadan ini.

Gemar menikmati ayam bakar sebagai menu berbuka puasa, dia yang kadang kala disapa Hong oleh rakan-rakannya berkata, pengalaman berpuasa pada tahun lalu banyak mengajarnya erti kesabaran terutamanya ketika menahan lapar dan dahaga.

Lebih manis, ibunya sendiri mengejutkannya untuk bangun bersahur pada pukul 5 pagi setiap hari walaupun mereka kini berlainan agama.

“Semasa sahur saya suka makan nasi goreng yang disediakan ibu, setakat ini saya berpuasa penuh kecuali hari kedua, separuh hari, kerana tidak tahan sangat,” katanya ketika ditemui di Tunjang, di sini hari ini.

Mohd. Firdaus atau nama asalnya, Lim Ching Hong berkata, dia seronok memeluk agama Islam kerana berpeluang ke masjid dan surau bersama rakan-rakan Melayu untuk bertarawih, selain mengunjungi rumah penduduk pada hari raya.

“Ketika di sekolah, saya tak berdepan masalah untuk berpuasa kerana hanya ada pelajar Melayu yang sama-sama berpuasa dan mereka tahu saya juga berpuasa.

“Saya kini sudah belajar sehingga Iqra tiga dan sudah menghafal surah al-Fatihah, selain mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah. Saya juga gemar mendengar kisah-kisah Nabi yang diceritakan ustazah dan tokwan (datuk angkat),” katanya yang turut menguasai tiga bahasa termasuk bahasa Thailand.

Sementara itu, Hun Kheng berkata, sebagai bapa dia cuba melakukan apa yang mampu bagi memastikan anak sulungnya menjadi seorang muslim yang berguna dan taat kepada perintah agamanya.

“Sebenarnya sejak darjah dua lagi dia mendapat keputusan A dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah dan sering bercerita di rumah mengenai Islam sehinggalah kami membenarkan dia memeluk agama itu tahun lalu,” katanya.

Mengenai sambutan puasa di rumah, Hun Kheng berkata, dia menghormati ibadah yang dijalani anaknya itu dengan tidak makan atau minum di hadapannya, namun kadang-kala dia terlupa dan segera memohon maaf kepada Mohd. Firdaus.

Dalam pada itu, datuk angkat kepada Mohd. Firdaus, Aziz Isa, 63, berkata, dia dan isteri, Samsiah Ahmad, 54, sudah menganggap Mohd. Firdaus seperti cucu sendiri dan akan terus membimbingnya mendalami ilmu agama Islam dengan sebaiknya. -UTUSAN ONLINE

kredit

0 comment... add one now